Ahad, 13 Disember 2009

Kredit Pilih Bila perlu


Kurang pemahaman mengenai kredit menyebakan ramai pengguna menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan mereka hingga boleh menyebabkan mereka jatuh bangkrap. Biarpun kredit atau berhutang membantu sedikit sebanyak membantu melancarkan kehidupan keluarga anda, malangnya penggunaan kredit yang tidak terkawal akan mendatangkan bahaya kepada anda dan juga keluarga yang anda sayangi.


Bagi mengelakkan penyalahgunaan kredit, seseorang itu mesti benar-benar memahami keperluan kredit itu sendiri dan membuat pertimbangan dengan tepat sebelum menjerumuskan diri dalam pembiayaan kredit dengan mana-mana pembelian barangan ataupun perkhidmatan. Membeli rumah contohnya, terpaksa dilaksanakan secara kredit dengan bank oleh kebanyakan orang memandangkan untuk membeli rumah secara tunai adalah sukar kerana memerlukan wang tunai dalam jumlah yang besar.


Namun sebagai pengguna yang menggunakan perkhidmatan pembiayaan kredit itu, anda perlu prihatin dengan bayaran ansuran bulanan dalam tempoh jangka panjang yang ditetapkan berserta caj kadar faedah yang dikenakan sepanjang tempoh terebut.


Sekiranya anda tidak mengambil berat mengenai ansuran bulanan rumah yang anda beli boleh ditarik oleh pihak bank dan dilelong. Bagaimanapun sekiranya anda dapati dalam keadaan kemelesetan ekonomi ini anda tidak lagi mampu melangsaikan ansuran bulanan kerana masalah kewangan yang dihadapi anda boleh berbincang dengan pihak bank untuk mengurangkan jumlah ansuran mengikut kemampuan anda.


Lebih baik menebalkan muka berbincang dengan pihak bank daripada mendiamkan diri dan membiarkan ansuran rumah anda tidak berbayar selama berbulan-bulan dan akhirnya pihak bank mengambil keputusan melelong kediaman yang anda sayangi itu.


Berbelanja kredit untuk penggunaan yang berlebihan contohnya kepada barangan yang tidak perlu boleh menyebabkan pendapatan sebenar anda menurun dengan banyaknya. Pendapatan yang kurang akibat membayar kredit yang terlalu banyak menyebabkan pengurusan kewangan anda bermasalah besar. Lebih parah apabila anda beberapa ansuran kredit yang mesti dibayar setiap bulan gagal dilunaskan. Akhirnya peniaga atau pihak pemberi kredit mengambil tindakan undang-undang ke atas anda dan ini membuatkan lebih terbeban dan tertekan.


Perlu diketahui apabila anda mengambil keputusan membeli sesuatu secara kredit bermakna anda membeli barangan atau perkhidmatan itu dengan harga yang lebih mahal berbanding dengan pembelian secara tunai.


Jadi berfikir dengan bijak sebelum membuat tindakan. Bertindaklah secara bijaksana dan berbelanjalah mengikut kemampuan akaun anda. Janganlah berbelanja kerana mahu menunjuk-nunjuk anda berkemampuan sebaliknya semua kesusahan itu andalah yang menanggungnya sendiri.

Tiada ulasan: