Selasa, 22 Mac 2011

TIP PENGGUNAAN INTERNET UNTUK KANAK-KANAK

Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tidak ada sesiapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, maka berjuta-juta laman web telah diwujudkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga bahan lucah disebarkan melalui internet.


Apakah kesannya apabila kanak-kanak mula berjinak-jinak dengan internet tanpa pengetahuan anda?. Adakah anda boleh ketahui laman web yang mana anak anda layari? Apakah yang anda boleh lakukan untuk memastikan yang anak anda selamat ketika melayari internet? Anda harus mempelajari selok belok dunia komputer agar anda dapat menyekat bahan yang tidak disenangi. Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh berkongsi dengan anak anda :



  • Letak komputer di tempat yang umum dan bukan di dalam bilik agar anda dapat mengawasi anak anda.


  • Tandakan (Bookmark) laman kegemaran anak anda agar senang untuk anda melayari laman tersebut.


  • Kongsi akaun e-mel dengan anak anda agar anda dapat mengawasi mesej yang diterima.


  • Luangkan masa untuk melayari internet bersama anak anda untuk mengajarnya tabiat "online" yang betul.


  • Jangan sesekali membenarkan anak anda memasuki ruangan sembang peribadi (private chat rooms); sekat dengan ciri-ciri keselamatan yang dilengkapkan oleh penyedia perkhidmatan internet )internet service provider) atau guna perisian penapisan khusus (special filtering software).


  • Selalu mengawasi kad kredit dan bil telefon anda untuk menyemak bayaran akaun yang luar biasa.


  • Jangan buat tidak endah jika anak memberitahu ada pertukaran "online" yang tidak menyenangkan.


  • Panjangkan salinan mesej yang mengandungi unsur lucah atau yang mengandungi unsur ugutan kepada penyedia perkhidmatan internet (internet service provider).


  • Kebanyakan laman web menggunakan "cookies" iaitu sejenis alat khas untuk mengesan informasi khusus berhubung dengan pengguna seperti nama, e-mel dan alamat."Cookies" boleh diberhentikan (disabled). Hubungi penyedia perkhidmatan internet (internet service provider) anda untuk maklumat lanjut.

Info dari : http//www.fomca.org.my

Jumaat, 18 Mac 2011

PANDUAN MENDIDIK ANAK


1. Terima Seadanya

Dalam apa keadaan sekalipun, sama ada serba kekurangan atau keperitan, tanggungjawab serta matlamat hidup perlu diteruskan. Persediaan minda, emosi, fizikal, psikologikal serta rohani dipertingkatkan supaya tidak terlalu mudah dipengaruhi perasaan yang boleh melemahkan semangat. Terimalah seadanya dan redha serta yakin bahawa setiap dugaan itu pastinya ada hikmah daripada Pencipta.


2. Makan Bersama

Cuba sedaya upaya untuk mengumpul kesemua ahli keluarga untuk makan bersama dengan mewujudkan suasana yang riang di antara satu sama lain. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk berkongsi pengalaman atau pandangan sambil usik-mengusik mengenai sesuatu isu yang boleh diterima oleh semua ahli keluarga.


3. Beri Motivasi Dalam Hal-Hal Akademik

Anak-anak sememangnya kurang berminat untuk belajar, apatah lagi terpaksa membuat kerja-kerja sekolah atau membaca buku untuk menghadapi peperiksaan. Leteran serta rungutan tidak membantu, tetapi sebaliknya ia akan menimbulkan rasa marah dan bosan. Beri dorongan seperti menyatakan hasrat yang terpendam di hati betapa bangga sekiranya dapat melihat anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah kerana cemerlang dalam akademik.


4. Jangan Sekali-kali Memarahi Anak Di Tempat Yang Terbuka

Kadangkala tingkah laku anak tidak menyenangkan, tetapi ini tidak bererti bahawa teguran boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat. Perasaan anak juga perlulah diambil kira dan sebarang teguran serta nasihat hendaklah dilakukan di tempat yang tertutup supaya perasaan malu atau mungkin dijadikan bahan ejekan sesama ahli keluarga tidak berlaku.


5. Berikan Hadiah Sekiranya perlu

Memberi hadiah membantu untuk mempertingkatkan motivasi anak untuk berusaha bersungguh-sungguh. Berikanlah hadiah seperti yang dijanjikan mengikut kemampuan lebih-lebih lagi hadiah yang sememangnya ingin diberikan serta hadiah itu juga dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pembelajaran. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang baik tidak semestinya disusuli dengan hadiah.


6. Gunakanlah Ugutan Dalam Keadaan Tertentu

Kadangkala ugutan membantu untuk merubah diri seseorang. Selagi ugutan itu tidak menyakit atau memudaratkan diri anak serta dapat memberi kesedaran, pendekatan ini tidaklah begitu keterlaluan. Bertegas adalah penting untuk mengejutkan anak yang sedang lena dibuai mimpi atau angan-angan yang tidak kesampaian.