Selasa, 22 Mac 2011

TIP PENGGUNAAN INTERNET UNTUK KANAK-KANAK

Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tidak ada sesiapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, maka berjuta-juta laman web telah diwujudkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga bahan lucah disebarkan melalui internet.


Apakah kesannya apabila kanak-kanak mula berjinak-jinak dengan internet tanpa pengetahuan anda?. Adakah anda boleh ketahui laman web yang mana anak anda layari? Apakah yang anda boleh lakukan untuk memastikan yang anak anda selamat ketika melayari internet? Anda harus mempelajari selok belok dunia komputer agar anda dapat menyekat bahan yang tidak disenangi. Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh berkongsi dengan anak anda :



  • Letak komputer di tempat yang umum dan bukan di dalam bilik agar anda dapat mengawasi anak anda.


  • Tandakan (Bookmark) laman kegemaran anak anda agar senang untuk anda melayari laman tersebut.


  • Kongsi akaun e-mel dengan anak anda agar anda dapat mengawasi mesej yang diterima.


  • Luangkan masa untuk melayari internet bersama anak anda untuk mengajarnya tabiat "online" yang betul.


  • Jangan sesekali membenarkan anak anda memasuki ruangan sembang peribadi (private chat rooms); sekat dengan ciri-ciri keselamatan yang dilengkapkan oleh penyedia perkhidmatan internet )internet service provider) atau guna perisian penapisan khusus (special filtering software).


  • Selalu mengawasi kad kredit dan bil telefon anda untuk menyemak bayaran akaun yang luar biasa.


  • Jangan buat tidak endah jika anak memberitahu ada pertukaran "online" yang tidak menyenangkan.


  • Panjangkan salinan mesej yang mengandungi unsur lucah atau yang mengandungi unsur ugutan kepada penyedia perkhidmatan internet (internet service provider).


  • Kebanyakan laman web menggunakan "cookies" iaitu sejenis alat khas untuk mengesan informasi khusus berhubung dengan pengguna seperti nama, e-mel dan alamat."Cookies" boleh diberhentikan (disabled). Hubungi penyedia perkhidmatan internet (internet service provider) anda untuk maklumat lanjut.

Info dari : http//www.fomca.org.my

Jumaat, 18 Mac 2011

PANDUAN MENDIDIK ANAK


1. Terima Seadanya

Dalam apa keadaan sekalipun, sama ada serba kekurangan atau keperitan, tanggungjawab serta matlamat hidup perlu diteruskan. Persediaan minda, emosi, fizikal, psikologikal serta rohani dipertingkatkan supaya tidak terlalu mudah dipengaruhi perasaan yang boleh melemahkan semangat. Terimalah seadanya dan redha serta yakin bahawa setiap dugaan itu pastinya ada hikmah daripada Pencipta.


2. Makan Bersama

Cuba sedaya upaya untuk mengumpul kesemua ahli keluarga untuk makan bersama dengan mewujudkan suasana yang riang di antara satu sama lain. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk berkongsi pengalaman atau pandangan sambil usik-mengusik mengenai sesuatu isu yang boleh diterima oleh semua ahli keluarga.


3. Beri Motivasi Dalam Hal-Hal Akademik

Anak-anak sememangnya kurang berminat untuk belajar, apatah lagi terpaksa membuat kerja-kerja sekolah atau membaca buku untuk menghadapi peperiksaan. Leteran serta rungutan tidak membantu, tetapi sebaliknya ia akan menimbulkan rasa marah dan bosan. Beri dorongan seperti menyatakan hasrat yang terpendam di hati betapa bangga sekiranya dapat melihat anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah kerana cemerlang dalam akademik.


4. Jangan Sekali-kali Memarahi Anak Di Tempat Yang Terbuka

Kadangkala tingkah laku anak tidak menyenangkan, tetapi ini tidak bererti bahawa teguran boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat. Perasaan anak juga perlulah diambil kira dan sebarang teguran serta nasihat hendaklah dilakukan di tempat yang tertutup supaya perasaan malu atau mungkin dijadikan bahan ejekan sesama ahli keluarga tidak berlaku.


5. Berikan Hadiah Sekiranya perlu

Memberi hadiah membantu untuk mempertingkatkan motivasi anak untuk berusaha bersungguh-sungguh. Berikanlah hadiah seperti yang dijanjikan mengikut kemampuan lebih-lebih lagi hadiah yang sememangnya ingin diberikan serta hadiah itu juga dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pembelajaran. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang baik tidak semestinya disusuli dengan hadiah.


6. Gunakanlah Ugutan Dalam Keadaan Tertentu

Kadangkala ugutan membantu untuk merubah diri seseorang. Selagi ugutan itu tidak menyakit atau memudaratkan diri anak serta dapat memberi kesedaran, pendekatan ini tidaklah begitu keterlaluan. Bertegas adalah penting untuk mengejutkan anak yang sedang lena dibuai mimpi atau angan-angan yang tidak kesampaian.

Isnin, 16 Ogos 2010

10 CARA UNTUK MERAIKAN KEDATANGAN RAMADAN AL-MUBARAK


Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.
Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.

Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut.

Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.

Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)


Jumaat, 11 Jun 2010

Belajar memahami emosi lelaki

Lelaki dan wanita mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Bukan sahaja dari segi perwatakan, cara percakapan malah emosi mereka juga amat berbeza. Ramai yang beranggapan wanita itu lebih sensitif daripada lelaki. Apakah kenyataan ini benar atau sebaliknya?.

1. Hidup Lelaki Lebih Mudah

Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding wanita. Kerana itu, lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasan oleh wanita. Wanita suka mengkias ibarat dan berharap lelaki faham, tetapi lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah dan jelas, secara berterusterang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.

2. Bahasa Lelaki Adalah Berlainan

Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada yang dimaksudkannya. Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukannya berbanding dari apa yang dikatakannya. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.

3. Lelaki Suka Membisu

Wanita berkebolehan untuk membincangkan sesuatu subjek yang sensitive dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti, tetapi lelaki masih lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.

4. Lelaki Tidak Kompleks

Jika terdapat semua tanda yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya dan melakukan jimak secara kerap dengannya, wanita harus percaya babawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif, tetapi lelaki memang sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenamya kehendak lelaki adalah mudah.

5. Jangan Paksa Lelaki

Bila wanita mendesak lelaki agar mendedahkan perasaannya, mungkin lelaki itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Maka adalah lebih baik jangan bertanya dan menyelidik hingga ke akar umbi. Lebih baik bagi wanita membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca tetapi tidak melakukannya, mungkin pada ketika itu fikirannya sedang kacau.

6. Lelaki Berahsia Dengan Lelaki Lain

Tidak seperti wanita yang lebih mudah untuk bercakap dengan wanita yang lain mengenai masalah, harapan dan kebimbangan yang amat rahsia dan peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya, lelaki memerlukan kekuatan dan keberanian yang tinggi.

7. Lelaki Pentingkan Kejujuran

Jika lelaki tahu bahawa isterinya suka bercerita pada wanita lain tentang dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal-hal rahsia kepada isterinya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Dia mahukan isterinya menyimpan rahsia-rahsia rumahtangga.

8. Lelaki Tidak Suka Dikritik

Jangan mengkritik lelaki, melainkan jika anda sedia untuk bertikam lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan. Mengkritik di belakangnya, contohnya kepada saudara atau kawannya, mungkin dapat mengelakkan konfrantasi serta-merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara tersebut disampaikan kepadanya. Cara yang baik untuk mengkritik lelaki adalah dengan berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan, dan jarang dilakukan oleh lelaki. Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila menegur, perbincangan itu ringkas, tidak beremosi, dan tepat. Untuk wanita mengkritik lelaki, elok jika kritikan itu digabungkan dengan sedikit pujian.

9. Lelaki dan Ego

Ramai lelaki menunjukkan egonya dalam dua keadaan, pertama di dalam kerja, dan kedua di atas ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suaminya. Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta itu. Lelaki mahu wanita memberitahu bahawa sumbangannya diiktiraf dan dinilai. Jika anda tidak menyatakannya kepadanya, siapa lagi. Jika anda menambah ego lelaki, ia akan membuatkan lelaki merasa senang dan setiap orang di sekelilingnya akan mendapat faedah terutamanya yang dicintainya.

10. Sahabat Yang Paling Baik

Jadilah sahabat yang paling baik kepada suami anda, dan dia akan menjadi sahabat yang paling baik kepada anda.

11. Lelaki Mesra Tanpa Beremosi

Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi, dan mengasihi sebagai balasan. Intimasi emosional, bersatunya jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ia bukan satu proses saja, tetapi merupakan penglibatan simia dan magis. Setiap manusia bergantung kepada intimasi emosional untuk seimbang dan gembira, paling kurangnya ia diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Lelaki berbeza dari wanita adalah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segi seks tanpa kemesraan emosi. Jalinan atau hubungan antara dua perkara ini iaitu kemesraan seks (cinta berahi) dan kemesraan emosi (cinta kasih) tidak penting pada ramai lelaki. Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah kepada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding wanita.

Lelaki lebih cepat mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan seks yang lebih memuaskan, tapi jika tanpa kemesraan emosi, seks boleh dilakukan juga oleh lelaki. Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik semula jadi antara lelaki dan wanita. Apabila keperluan kemesraan emosi wanita tidak dipenuhi sama ada sebelum atau selepas seksual, kekecewaan akan melanda wanita.

12. Lelaki Suka Menyelerak

Lelaki bersifat suka menyelerakkan barang-barang dan berharap isterinya akan mengemas. Kadangkala lelaki mahukan isterinya bersifat seperti ibunya. Walaupun kebanyakan ketika lelaki adalah pembuat yang memulai atau meneruskan sesuatu, ada kalanya mahu dijaga oleh seorang ‘ibu’. Dia menunjukkan kemahuannya itu secara tidak langsung dengan menyelerak.

Rabu, 26 Mei 2010

20 AMALAN MURAH REZEKI

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah SWT
Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja.

(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya

.20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama beramal. Mudah-mudahan Allah SWT melimpah-ruahkan rezeki-Nya kepada kita. Amiin.

Rabu, 19 Mei 2010

RAHSIA DISEBALIK HIDUNG


Allah menjadikan setiap umat-Nya berbeza antara satu sama lain. Setiap manusia ciptaan-Nya begitu unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Mungkin ramai yang tidak menyangka selain wajah dan tingkahlaku seseorang, bentuk hidung juga memainkan peranan dalam menyingkap peribadi seseorang itu. Jadi apalagi, cuba anda kaji dan selidik peribadi pasangan anda dengan melihat bentuk hidungnya…

* Hidung panjang :
Jika pasangan anda memiliki bentuk hidung seperti ini, dia merupakan seorang yang mempunyai personaliti yang kukuh dan berpotensi untuk mempengaruhi orang lain yang berada di sekelilingnya. Dia seorang yang bercita-cita tinggi dan sangat sensitif orangnya. Jadi janganlah anda sengaja ‘mencari pasal’ dengan mereka yang berhidung panjang. Selain itu, mereka juga mudah membantu dan sangat bermurah hati, hanya pada mereka yang tahu menghargainya! Anda tidak perlu membalas pertolongannya cukup sekadar anda menghargai bantuan yang dihulurkan itu. Mereka yang berhidung panjang juga dipercayai bijak menonjolkan diri dan mudah berjaya dalam perniagaan dan bidang seni.

* Hidung kecil :
Si empunya hidung kecil, mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan berbakat dalam bidang seni. Dia juga suka mengejar sesuatu yang baru dalam kehidupan. Bagi mereka yang berhidung kecil, suka mencuba sesuatu yang baru dalam kehidupan.
Dia juga seorang yang peramah, dan amat mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya. Adakalanya sikap mereka sukar diramal dan mereka bersikap kebudak-budakan. Jadi usahlah anda rasa bosan dengan sikap si hidung kecil kerana mereka sememangnya seorang yang manja.
Awas, pemilik si hidung kecil tidak tetap pendirian. Dia juga mudah dipengaruhi oleh orang lain dan bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan, tanpa memikirkan pro dan kontra keputusan tersebut. Ha… bila dah tersilap langkah, tiada gunanya lagi…

* Hidung paruh burung :
“Eh, betullah. Sekali pandang, hidung dia macam paruh burung, nampak macam patahkan!” Mungkin itu yang akan anda perkatakan apabila ternampak seseorang yang mempunyai hidung jenis ini. Ha… jangan tak tahu… mereka yang mempunyai hidung jenis ini ada keistimewaannya. Mereka mempunyai pendirian yang teguh dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain.
Mereka cukup tegas dalam apa jua keadaan, tidak terburu-buru dan menunggu masa yang sesuai sebelum membuat sesuatu tindakan. Pasti ramai yang berminat dengan pemilik si hidung paruh burung ini kerana daya pemikiran mereka cukup imaginatif, kreatif dan bijak, tetapi mereka agak sukar untuk mencari cinta sejati dalam kehidupan mereka.

* Hidung tajam :
Ha… jaga-jaga dengan pemilik si hidung tajam! Mereka ini jenis yang memandang kebendaan. Bagi mereka aset dan wang adalah segala-galanya. Tiada apa lagi yang penting selain dua perkara tersebut. Erm, jangan salah faham, pemilik si hidung tajam ini, bukanlah kaki pisau cucur, mereka mengumpulkan aset dan mencari wang dengan tulang empat kerat mereka dan bukan menumpang kekayaan orang lain. Mereka sanggup bekerja keras demi memastikan kehidupan mereka selesa dan senang.

* Hidung lurus:
Bertuahnya kalau anda berdampingan dengan si pemilik hidung lurus. Ha… mereka ini merupakan seorang yang setia dan adil dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Mereka adalah golongan yang sanggup berkorban demi orang lain berbanding menjaga kepentingan sendiri. Si hidung lurus akan mencari pasangan hidupnya yang juga setia dan tidak menipu. Awas, sekali anda telah menipu si hidung lurus, peratus kepercayaannya kepada anda akan turun ke tahap 0%. Jangan main-main.

* Hidung kembang:
Mereka yang berhidung kembang merupakan seorang yang aktif dan cekap dalam melakukan apa jua kerja. Mereka seorang yang artistik dan suka mempelbagaikan aktiviti seharian mereka. Jika anda ingin meminta pertolongan, carilah pemilik hidung kembang sebab mereka akan membantu anda pada bila-bila masa. Mereka mudah kasihan kepada teman-teman, sehingga tidak sanggup untuk mengecewakan sesiapa.

* Hidung runcing:
Mereka yang berhidung runcing adalah seorang yang lemah-lembut dan amat berdiplomasi. Ha… jangan tak tahu, mereka yang berhidung runcing juga licik orangnya, mereka juga bersikap pentingkan diri sendiri. Satu lagi kelemahan si hidung runcing, mereka mudah terpengaruh dengan apa juga yang dilakukan oleh orang lain. Mood mereka sukar dijangka, jadi janganlah anda melakukan sesuatu yang ‘bodoh’ kerana ia akan menjerat diri anda sendiri.

* Hidung pesek:
Mereka yang memiliki bentuk hidung seperti ini merupakan seorang yang kuat berahsia. Orang yang tidak mengenali pemilik si hidung pesek tidak akan dapat menjangka perasaan mereka dari semasa ke semasa. Mereka juga dikatakan kurang yakin dalam melakukan sesuatu perkara, sedangkan mereka sebenarnya boleh menyelesaikan perkara tersebut dengan baik. Si hidung pesek cukup ramah dan mudah mesra walau dengan sesiapa sahaja. Mereka boleh membuatkan orang lain cukup senang dengan kehadiran mereka.
Erm, apalagi pastikan bentuk hidung pasangan anda agar mudah untuk anda mengenalpasti peribadi atau personalitinya. Selepas ini, tiada lagi alasan untuk anda tidak mengetahui peribadi pasangan anda.

ASAL USUL TANAH DALAM KEJADIAN MANUSIA


Manusia diciptakan dari pelbagai tanah.Menurut Ibnu Abbas , tanah-tanah dari bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta nabi Adam A.S. bapa keturunan semua manusia.
Tanah tersebut ialah :

Tanah Baitulmuqqaddis : dijadikan kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan kepala dan akal

Tanah Bukit Tursina ( Mesir) : dijadikan telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat

Tanah Iraq : dijadikan dahi sebagai tempat sujud kepada Allah

Tanah Aden ( Yaman ) : dijadikan muka sebagai tempat berhias dan kecantikan

Tanah Telaga Al- Kauthar : dijadikan mata sebagai tempat menarik perhatian

Tanah Al-Kauthar : dijadikan gigi sebagai tempat memanis-manis

Tanah Ka`abah : ( Makkah) ; dijadikan tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan bekerjasama

Tanah ( Perancis ) : dijadikan tangan kiri sebagai anggota untuk melakukan istinjak ( guna membasuh najis, air kecil atau air besar )

Tanah Khurasan ( Iran ) : dijadikan perut sebagi tempat berlapar dan diisikan makan dan minum sekadarnya

Tanah Babylon( Iraq ) : dijadikan alat kelamin ( kemaluan ) sebagai organ sekdan tempat bernafsu serta tempat yang mudah digoda oleh syaitan

Tanah Tursina ( Mesir ) :dijadikan tulang sebagai bingkai peneguh diri manusia

Tanah India : dijadikan kaki sebagai anggota untuk berdiri dan berjalan

Tanah Firdaus ( Syurga ) : dijadikan hati sebagai tempat
keyakinan,keimanandan kemahuan

Tanah Taif ( Arab Saudi ) : dijadikan lidah sebagai tempat untuk mengucapkan syahadah, bersyukurdan berdoa.

Wallah hu`alam.