Selasa, 23 Mac 2010

13 Cara Jadi Pasangan Romantik


Hendak jadi pasangan romantik sebenarnya tidaklah sesukar mana. Tapi, semua itu perlukan kesungguhan. Amalkanlah 13 cara ini jika ingin hidup bahagia.

1. Ucapkan “I Love U”, sekurang-kurangnya sekali sehari. Ketahuilah bahawa pasangan anda memang perlu mendengarnya selalu.

2. Ciuman dan pelukan setiap kali ingin berpisah dan bertemu kembali. Hadiahkanlah si dia pelukan dan ciuman buat si dia ketika mahu ke tempat kerja dan setelah pulang ke rumah.

3. Layanilah pasangan anda seperti anda melayannya ketika sedang asyik bercinta dahulu. Perbetulkan kedudukan tali lehernya sebelum dia ke pejabat dan berpegangan tangan sentiasa walau ke mana pun anda berdua pergi.

4. Janganlah terlalu cerewet. Biarkan sahaja tabiat buruknya selagi tabiat tersebut tidak mengganggu hubungan anda berdua. Dari semasa ke semasa berusahalah untuk menghilangkan tabiat yang tidak anda gemari itu. Cubalah sedikit demi sedikit agar si dia tidak terasa. Berkat kesungguhan, kejayaan pasti menjadi milik anda.

5. Sentiasa berfikiran positif. Daripada terlalu memikirkan perkara-perkara remeh tentang si dia yang kurang anda gemari lebih baik anda tumpukan kepada kelebihan serta kebaikan si dia. Dengan cara ini, anda akan lebih menyayanginya adan begitu juga sebaliknya.

6. Jika sedang marah, jangan sesekali cuba bercakap dengannya. Tinggalkan sebentar si dia sambil anda tenangkan fikiran. Berbincang ketika marah hanya akan memburukkan lagi keadaan. Oleh yang demikian, setiap kali anda rasa marah dengannya, ambil masa beberapa minit untuk keluar daripada perbincangan tersebut dan kembali setelah perasaan anda kembali tenang.

7. Jangan sesekali menggunakan kelemahannya sebagai senjata untuk menentang mereka. Hal ini akan membuatkan si dia tambah benci pada anda dan secara automatik kasih sayang antara anda berdua akan berkurangan dan lama-kelamaan akan hilang tanpa anda sedari.

8. Utamakan yang tersayang dalam apa-apa hal sekalipun. Misalnya jika anda perlukan teman untuk ke satu-satu tempat, ajaklah si dia dahulu sebelum anda mengajak rakan sepejabat.

9. Hormatilah pasangan anda. Jangan sesekali bongkar kelemahan si dia kepada rakan-rakan walau pun kepada rakan karib anda. Setiap kali berbual-bual dengan rakan-rakan tentang pasangan, sentiasalah katakan si dia adalah pilihan terbaik anda dan anda berdua saling sayang-menyayangi.

10. Sentiasa cari masa untuk bersama. Pastikan anda ada masa untuk bersamanya setiap hari. Lebih banyak masa dapat anda luangkan bersamanya, lebih erat hubungan anda berdua.

11. “Maafkan saya.” Jika bersalah, janganlah teragak-agak untuk meminta maaf. Namun, setiap kali anda meminta maaf setelah melakukan kesilapan, sematkan dalam diri itulah kali terakhir anda melakukannya. Mintalah maaf dengan bersungguh-sungguh dan berjanjilah pada si dia yang anda tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Ketika meminta maaf jangan sesekali gunakan perkataan ‘tapi’ misalnya, “Saya minta maaf tapi ...” Hal ini kerana perkataan ‘tapi’ hanya akan membuat si dia berfikir dua kali untuk memaafkan anda.

12. Pujilah si dia selalu. Manusia tidak kira tua ataupun muda memang suka dipuji. Kata-kata pujian pada pasangan akan membakar semangatnya untuk sentiasa bersama anda.

13. Jika anda sering mengucapkan terima kasih pada juruwang, pemandu teksi, pelayan restoran apa kata kalau anda teruskan amalan berterima kasih ini pada pasangan. Tentu si dia akan rasa anda lebih menghormatinya

Selasa, 2 Mac 2010

Berkongsi tuala boleh jangkit ketuat

BOLEH dikatakan setiap daripada kita menghadapi masalah ketuat di bahagian tubuh. Biasanya ketuat tersebut tidak mengganggu dan ada juga yang boleh hilang sendiri tanpa perlu dibuang menerusi pembedahan.
Ketuat juga boleh berlaku pada kanak-kanak, untuk pengetahuan anda, ketuat berpunca dari sejenis jangkitan kuman pada kulit yang tergolong dalam kumpulan human papillomavirus (HPV).
Kuman ini boleh dijangkiti pada mana-mana bahagian tubuh, namun ia lebih serasi untuk timbul di bahagian yang lembap, sedikit panas atau boleh jadi juga di bahagian yang terguris atau luka seperti di kaki, tangan dan jari-jemari.
Ketuat ini biasanya tidak menimbulkan kesakitan melainkan jika ia tumbuh di bahagian tapak kaki atau bahagian tubuh yang selalu bergesel atau disentuh dengan kerap.
Bagaimana kanak-kanak boleh mendapat HPV? Cara mudah ialah dengan menyentuh barangan yang telah digunakan oleh orang yang mempunyai kuman HPV, sebagai contoh perkongsian penggunaan tuala atau apa saja.
Kanak-kanak yang mempunyai tabiat menggigit kuku lebih terdedah untuk jangkitan berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai tabiat tersebut.

Jenis-jenis ketuat

Ketuat biasa sering ditemui di jari, tangan, lutut dan siku. Ketuat biasanya ini bersaiz kecil, keras pada sifatnya dan berwarna perang pudar. Permukaan ketuat biasa menyerupai kubis bunga dan ada bintik-bintik hitam kecil di dalamnya.
Ketuat rata bersaiz sekecil kepala pin. Jika berlaku pada kanak-kanak rasanya lebih lembut, warnanya pula boleh jadi merah jambu, perang lembut atau kuning. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami ketuat rata ini di bahagian wajah namun tidak mustahil ia juga boleh timbul di bahagian lengan, lutut dan tangan.
Ketuat plantar pula biasanya ditemui di tapak kaki dan jenis ini memang mendatangkan ketidakselesaan pada yang menanggungnya. Boleh diibaratkan umpama berjalan di atas batu-batu kecil. Adakalanya ketuat boleh tumbuh di kawasan genital namun ia lebih banyak berlaku di bahagian jari, kaki dan tangan.

Adakah ketuat berbahaya?

Menyentuh ketuat orang lain tidak bermakna anda boleh berjangkit dengan mudah, namun virus yang menghasilkan ketuat boleh menyebabkan ia berpindah dengan mudah kepada orang terdekat dengan cara perkongsian penggunaan pakaian atau tuala.
Bahagian tubuh yang terguris atau luka juga lebih terdedah kepada penghasilan ketuat. Jika anda mempunyai tabiat mengorek ketuat juga boleh menyebabkan ia merebak ke bahagian lain pula.

Mengelakkan ketuat

Walaupun tiada cara khusus untuk mengelakkan ketuat, namun amalan kebersihan seperti kerap membasuh tangan boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan. Jika anak anda mengalami luka, gunakan sabun dan air untuk mencuci bahagian luka tersebut.

Menguruskan ketuat

Ketuat biasanya tidak mengancam kesihatan, jadi ia tidak semestinya dibuang. Para doktor akan menyarankan ia dibuang jika mendatangkan sakit atau mudarat kepada pesakit.
Cara untuk membuangkan ada pelbagai termasuk; penggunaan krim khas, cyrosurgeri, rawatan laser.
Cara potongan jarang digunakan doktor kerana akan mengakibatkan parut serta risiko ia akan tumbuh kembali.