Selasa, 6 Oktober 2009

Alahan... musuh ketika bercuti


Percutian adalah masa untuk berehat, bersantai dan bergembira.
Bayangkan keseronokan bersantai di tepi laut, mendengar desiran angin, bunyi ombak dan membayar hutang tidur.
Tetapi tiba-tiba hidung dan kulit anda terasa gatal? Mungkin anda diserang alahan yang teruk.

Alahan atau alergi tidak boleh diramalkan. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Apabila anda berada di tempat baru, mencuba makanan tempatan dan melawat tempat-tempat yang belum pernah anda kunjungi, sesuatu yang tidak diingini boleh menyebabkan anda kecewa.
Perancangan yang betul dan sedikit penyelidikan boleh menjamin percutian yang benar-benar menyeronokkan.

Selidik latar belakang meskipun pilihan destinasi adalah penting, anda perlu membuat penyelidikan mengenai kemudahan yang disediakan sebelum bertolak.
Hubungi hotel di destinasi pilihan anda. Adakah kemudahannya berpermaidani penuh dan menyediakan kelengkapan 'upholsteri'?
Adakah tingkapnya boleh dibuka untuk membenarkan udara segar masuk?
Adakah haiwan peliharaan dan merokok dibenarkan dalam bilik? Jika anda mengalami alahan bahan kimia, tanyakan tentang penyegar udara dan bahan pembersih yang digunakan dalam bilik, atau bawa cadar dan selimut anda sendiri.

Tanyakan sama ada terdapat pusat perubatan berhampiran sekiranya berlaku kecemasan dan bawa bersama bekalan perubatan yang diperlukan dalam beg pakaian anda.
Jika anda sering mengalami alahan yang teruk, dapatkan nasihat doktor tentang rawatan kecemasan.
Perjalanan dengan kereta, ramai daripada kita menaiki kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Berhati-hati kerana terdapat banyak kulat dan habuk dalam kereta, terutama sekali di negara-negara yang bercuaca panas dan lembab.
Pastikan kereta yang anda sewa telah dibersihkan dan divakum sebelum anda menggunakannya dan minta mereka membersihkan penapis udara.

Sungguhpun anda tidak berupaya untuk membaiki kualiti udara dalam kapal terbang, anda boleh meminta syarikat penerbangan menyediakan makanan khas jika anda mengalami alahan makanan.
Apabila menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, anda boleh meminta untuk menaiki bas atau gerabak yang tidak membenarkan penumpang merokok.
Menikmati keseronokan percutian apabila tiba waktu makan, bersedialah untuk bertanya pelayan tentang ramuan-ramuan yang digunakan dalam sajian-sajian tertentu, lebih-lebih lagi jika anda belum pernah mencubanya.

Beritahu mereka jika anda alah kepada makanan atau ramuan tertentu dan bersabarlah menunggu kerana pelayan mungkin perlu mendapatkan kepastian daripada tukang masak di dapur.
Jika atur cara percutian anda termasuk lawatan ke kawasan pedalaman dan menyusur hutan, anda mungkin terdedah kepada debunga, gigitan serangga dan punca alahan yang lain.
Dapatkan nasihat doktor tentang langkah-langkah pencegahan yang wajar seperti semburan hidung, rawatan pencegahan dan keselamatan.
Memakai baju lengan panjang atau seluar panjang boleh melindungi kulit anda daripada gigitan serangga.

Merawat dan menguruskan alahan jika tidak dirawat, alahan boleh menyebabkan penderitaan sepanjang hayat.
Ia boleh menjejaskan kualiti hidup kita. Justeru adalah penting untuk menguruskannya secara berkesan, kerana keradangan yang dikaitkan dengan serangan berulang kali lama-kelamaan boleh menjadi lebih buruk lagi.
Ini amat penting kerana langkah-langkah untuk mengelakkannya bukan sentiasa berkesan, lebih-lebih lagi jika punca alahan adalah debu yang dibawa oleh udara.

Dalam persekitaran baru, usaha mengelakkannya adalah lebih rumit lagi.
Tindak balas alahan badan kita melibatkan pengeluaran histamina, kimia yang menyebabkan gejala alahan biasa seperti mata gatal atau berair, hidung berair atau tersumbat, bersin dan kegatalan atau gata-gatal.
Gejala-gejala ini boleh dikawal dengan ubat makan antihistamina. Ubat makan antihistamina boleh didapati dalam banyak bentuk, tetapi kebanyakkannya ditakrifkan sebagai generasi pertama atau generasi baru.
Ubat-ubat antihistamina generasi lama mendatangkan kesan sampingan, terutama sekali rasa gayat atau mengantuk, mana kala ubat-ubat generasi baru lebih cepat bertindak dan kurang menimbulkan kesan sampingan.

Tiada ulasan: