Jumaat, 18 Mac 2011

PANDUAN MENDIDIK ANAK


1. Terima Seadanya

Dalam apa keadaan sekalipun, sama ada serba kekurangan atau keperitan, tanggungjawab serta matlamat hidup perlu diteruskan. Persediaan minda, emosi, fizikal, psikologikal serta rohani dipertingkatkan supaya tidak terlalu mudah dipengaruhi perasaan yang boleh melemahkan semangat. Terimalah seadanya dan redha serta yakin bahawa setiap dugaan itu pastinya ada hikmah daripada Pencipta.


2. Makan Bersama

Cuba sedaya upaya untuk mengumpul kesemua ahli keluarga untuk makan bersama dengan mewujudkan suasana yang riang di antara satu sama lain. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk berkongsi pengalaman atau pandangan sambil usik-mengusik mengenai sesuatu isu yang boleh diterima oleh semua ahli keluarga.


3. Beri Motivasi Dalam Hal-Hal Akademik

Anak-anak sememangnya kurang berminat untuk belajar, apatah lagi terpaksa membuat kerja-kerja sekolah atau membaca buku untuk menghadapi peperiksaan. Leteran serta rungutan tidak membantu, tetapi sebaliknya ia akan menimbulkan rasa marah dan bosan. Beri dorongan seperti menyatakan hasrat yang terpendam di hati betapa bangga sekiranya dapat melihat anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah kerana cemerlang dalam akademik.


4. Jangan Sekali-kali Memarahi Anak Di Tempat Yang Terbuka

Kadangkala tingkah laku anak tidak menyenangkan, tetapi ini tidak bererti bahawa teguran boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat. Perasaan anak juga perlulah diambil kira dan sebarang teguran serta nasihat hendaklah dilakukan di tempat yang tertutup supaya perasaan malu atau mungkin dijadikan bahan ejekan sesama ahli keluarga tidak berlaku.


5. Berikan Hadiah Sekiranya perlu

Memberi hadiah membantu untuk mempertingkatkan motivasi anak untuk berusaha bersungguh-sungguh. Berikanlah hadiah seperti yang dijanjikan mengikut kemampuan lebih-lebih lagi hadiah yang sememangnya ingin diberikan serta hadiah itu juga dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pembelajaran. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang baik tidak semestinya disusuli dengan hadiah.


6. Gunakanlah Ugutan Dalam Keadaan Tertentu

Kadangkala ugutan membantu untuk merubah diri seseorang. Selagi ugutan itu tidak menyakit atau memudaratkan diri anak serta dapat memberi kesedaran, pendekatan ini tidaklah begitu keterlaluan. Bertegas adalah penting untuk mengejutkan anak yang sedang lena dibuai mimpi atau angan-angan yang tidak kesampaian.

Tiada ulasan: