Ahad, 1 November 2009

Bahaya Ekstasi


Penggunaan dadah perangsang jenis ekstasi sangat popular pada masa ini terutamanya bagi golongan muda yang suka berhibur. tetapi adakah mereka sedar bahawa ekstasi ini boleh mengakibatkan kemudaratan teruk kepada penggunanya.

Ekstasi adalah dadah jenis perangsang yang boleh menyebabkan kesan 'psychodelic' iaitu perubahan paras kesedaran pemikiran seseorang.

Ia adalah nama jalanan kepada 'Methylenedioxy-metaphetamine' ('MDMA') yang terhasil dari analog meskalin dan amfetamin. Ia juga dikenali sebagai 'feel-good-drug' kerana boleh meningkatkan daya tahan pengguna dan menghasilkan kesan 'euphoria'.

Nama jalanan lainnya ialah 'XTC', 'adam', 'hub', 'pil kuda', 'live drug', 'lover's speed', 'playboy' dan 'pink lady'.

Dadah jenis ini biasanya bentuk tablet dengan pelbagai corak dan warna. Ia dibentuk sedemikian rupa untuk memenuhi cita rasa pengguna muda dengan cara menelan sahaja.
'MDMA' (ekstasi) mula diperkenalkan pada 1912 oleh Merck Chemist Kollisch sebagai bahan yang digunakan untuk menghentikan pendarahan.

Selepas itu, banyak kajian dijalankan ke atas 'MDMA' ini untuk manfaat bidang perubatan. Tetapi pada awal 1970-an MDMA mula disalah gunakan sebagai dadah jalanan untuk kegiatan hiburan golongan tertentu di negara-negara barat.

Akibatnya pada 1971, United Kingdom telah memperkenalkan 'Misuse Of Drugs Act'bagi membendung penyalah gunannya. Begitu juga di Amerika Syarikat, pihak 'Drug Enforcement Administration' telah menguatkuasakan pengawalan terhadap 'MDMA' ini pada 1985.

Di Malaysia, penggunaan ekstasi mula dikesan pada pertengahan tahun 1990-an. Bagi mengawal mengawal penyalah gunaan ekstasi ini, kerajaan telah mewartakan kesalahan memiliki dan menggunakan ekstasi ini ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ekstasi berupaya memberi kesan awalan kepada sel saraf (neuron) di dalam otak dengan menggunakan serotonim (sebatian kimia di dalam sistem saraf pusat) untuk berhubungan dengan sel saraf yang lain.

Serotonim adalah sebatian kimia yang memainkan peranan penting dalam perubahan mood, keagresifan, aktiviti seksual, tidur dan sensitiviti kesakitan.

Ekstasi juga akan mengikat serotonim 'transporter' iaitu bahan yang bertanggungjawab mengeluarkan serotonim daripada sinap (ruang antara sel saraf) dan menghentikan signal antara sel saraf.

Oleh itu, lebihan serotonim boleh menyebabkan gejala-gejala negatif psikologikal dan fisiologikal.

Kesan psikologikal



  • Kekeliruan

  • Depresi

  • Gangguan tidur

  • Gian

  • Kebimbangan yang teruk

  • Paranoid

  • Kurang tumpuan

  • Mengurangkan daya memori

Kesan fisiologikal


  • Peningkatan kadar denyutan jantung

  • Tekanan darah tinggi

  • Ketegangan otot

  • Penglihatan kabur

  • Kesejukan

  • Pitam

  • Sakit kepala

  • Sembelit


Gejala-gejala di atas muncul apabila seseorang mengambil ekstasi ataupun beberapa hari selepas pengambilannya. Kajian oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan mendapati 43 peratus pengguna ekstasi di kalangan remaja dan dewasa menunjukkan kesan kebergantungan kepada ekstasi.

Bagi rawatan pemulihan terhadap penyalah gunaan dadah jenis ekstasi ini, AADK telah memperkenalkan model Matrix. Melalui pendekatan ini, klien dikehendaki mengikuti beberapa sesi kaunseling dan bimbingan secara insentif seperti sesi individu atau keluarga, sesi berkelompok kemahiran kepulihan awalan, sesi kelompok pencegahan relaps dan sesi kelompok pendidikan keluarga.

Tiada ulasan: