Rabu, 3 Februari 2010

KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI DENGAN BAYI


Dari saat kelahirannya, bayi sudah dapat mengeluarkan bunyi dalam bentuk tangisan. Ini adalah suatu keadaan normal yang menunjukkan bayi itu menggunakan organ. Didapati pada tiga hari pertama selepas kelahiran, bayi yang normal menangis antara 1 hingga 2½ jam sehari. Ada kajian yang membuktikan pada 3 bulan pertama, sebanyak 70% bayi menangis kira-kira 2½ jam sehari. Selepas berumur 1 tahun, mereka menangis lebih kurang satu jam sehari. Walau bagaimanapun, bayi yang kurang menangis tidak semestinya tidak normal.

Kadang-kadang, ibu bapa berasa risau apabila melihat bayi yang baru dilahirkan menangis dan ingin mengetahui apakah yang menyebabkan ia menangis. Tingkah laku menangis menolong sistem pernafasan dan sistem peredaran berjalan lancar. Akan tetapi, ini tidak bermakna bayi itu boleh dibiarkan menangis tanpa penjagaan. Tangisan adalah satu-satunya bentuk komunikasi bayi dan cara perhubungan antara bayi dengan orang sekelilingnya. Bagi ibu bapa, tangisan bayi membawa pelbagai maksud. Contohnya, tangisan kerana lapar, marah, sakit dan sebagainya yang bergantung pada pelbagai nada, bentuk, kekuatan dan sebagainya.

Jenis tangisan

Jenis tangisan mencerminkan masalah yang dihadapi oleh bayi. Ibu bapa yang menjaga bayi baru lahir biasanya sentiasa melakukan penilaian terhadap tangisannya bagi mengetahui apa yang dikehendakinya. Di sinilah bermulanya proses komunikasi antara bayi dengan penjaganya. Ibu yang menjaga bayi memang arif mengenali dan memahami tangisan bayinya. Biasanya, bayi menangis kerana beberapa sebab antaranya adalah:

Kelaparan

Kelaparan adalah sebab pertama difikirkan mengapa bayi menangis. Sebagai ibu, makanan yang dipentingkan untuk anaknya. Bukti andaian ini tepat dapat ditunjukkan apabila bayi itu diberi susu, dia akan berhenti menangis. Biasanya bayi yang kenyang dan sihat tidak akan menangis secara berterusan.

Tidak selesa

Bayi juga menangis apabila dia tidak selesa. Kadang-kadang selepas diberi susu pun bayi terus menangis. Ini mungkin disebabkan bayi tidak selesa kerana ada angin masuk dalam perut sewaktu bayi menghisap susu. Angin ini boleh dikeluarkan dengan membetulkan badan dan menggosok-gosok belakangnya.

Suasana terlalu panas dan terlalu sejuk

Sebenarnya bayi lebih selesa dengan cuaca panas yang tidak keterlaluan, berbanding cuaca sejuk. Pakaian yang sesuai perlu bagi memanaskan mereka. Tetapi apabila keadaan tidak selesa kerana terlalu panas, mereka akan menangis. Begitu juga dengan suasana yang sejuk. Ini membuatkan mereka tidak selesa dan terus menangis.

Kesakitan

Bayi yang menangis terlalu lama dan memenatkan orang yang menjaganya berkemungkinan menghadapi masalah Mereka yang mengalami kesakitan, seperti perut kembung (colik) menangis dengan suara yang sungguh nyaring dan boleh dikenali berbanding dengan tangisan yang lain. Segala usaha oleh ibunya bagi menenangkannya tidak akan berjaya dan bayi ini perlu diberi perhatian yang serius. Bayi dalam keadaan seperti ini dinasihatkan supaya dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Keletihan

Bayi juga menangis apabila letih dan memerlukan bantuan untuk berehat. Bayi yang kecil masih belum pandai menenangkan diri apabila terlalu penat selepas bermain. Mereka meminta bantuan melalui tangisan. Bayi dalam keadaan itu boleh didakap sambil didodoikan.

Kesunyian

Kadang-kadang ada bayi yang menangis berterusan tanpa sebarang sebab yang jelas. Apabila sebarang masalah fizikal tidak dapat dikesan dan telah disahkan yang bayi tidak mempunyai sebarang bentuk penyakit, mungkin sebabnya adalah mereka kesunyian. Ia boleh diredakan dengan memberi rangsangan. Apabila ada kelapangan, anda boleh bermain dengannya. Sekiranya anda terlalu sibuk, bayi boleh melayan diri dengan bermain alat permainan ataupun melihat gambar dalam buku. Pastikan gambar itu besar dan berwarna terang. Rujuk bab 3 bagi mengetahui tahap perkembangan penglihatan bayi pada umur tertentu.

Ibu bapa tidak usah runsing apabila tindakan memberi perhatian terhadap bayi yang menangis akan menyebabkannya menjadi manja dan sentiasa ingin didukung ataupun diberi perhatian. Tangisan adalah bentuk komunikasi paling awal yang dapat ditunjukkan. Apabila anak ini membesar dan dapat mengujarkan bunyi yang dapat difahami melalui satu ataupun dua kata, dia mula bercakap bagi menyatakan perasaannya.

Kajian membuktikan bayi yang cepat diberi perhatian apabila dia menangis menggunakan tangisan untuk berkomunikasi secara berkesan. Mereka hanya menangis ketika memerlukan bantuan dan cepat berhenti menangis apabila perhatian diberi. Kajian yang sama membuktikan bayi yang diberi perhatian hanya selepas lama menangis akan lambat berhenti menangis, walaupun telah diberi perhatian. Bayi itu juga lambat daripada segi membentuk kemahiran komunikasi yang berkesan sama ada secara tangisan ataupun mengguna perkataan.

Tiada ulasan: