Ahad, 13 September 2009

Alam Mahsyar


Gambaran keadaan manusia semasa di alam mahsyar telah digambarkan oleh Allah s.w.t. melalui firmanNya:

1. Surah Yasin, ayat 54 (juga terdapat pada ayat 12 & 60). Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan. (Yasin: 54)

2. Terdapat juga keterangan dalam surah Al-Sajdah, ayat 19-21.

3. Surah Al-Naba' ayat 18. Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok- kelompok.

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut di atas, pernah ditanyakan oleh Mu'az bin Jabal, katanya: "Ya Rasulullah, apa maksud ayat ini?"Maka Rasulullah s.a.w. menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya Mu'az, umat ku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan masuk syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:

1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti jiran tetangga.

2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengah solat lima waktu.

3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Ini balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Ini adalah balasan bagi mereka yang berdusta dalam berjual beli.

5. Mereka yang berbau busuk seluruh tubuhnya. Ini adalah balasan bagi mereka yang berdusta dalam jual beli.

6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini balasan bagi mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulutnya. Ini balasan bagi mereka yang tidak mahu menjadi saksi terhadap kebenaran.

8. Mereka yang keluar berkeadaan terbalik, iaitu kepala di bawah dan kakinya di atas. Ini balasan bagi mereka yang berzina serta mati sebelum taubat.

9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan bagi mereka yang suka memakan harta anak yatim secara zalim.

10. Mereka yang berkulit penuh dengan kudis dan penyakit-penyakit lain yang menjijikkan. Ini balasan bagi mereka yang berani dengan kedua ibu bapanya.

11. Mereka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga ke perut, dari perut dan pahanya keluar kotoran. Ini balasan bagi mereka yang minum minuman keras.

Dan satu golongan yang masuk ke syurga iaitu:

1. Mereka yang berwajah bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian seperti kilat. Ini balasan bagi orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat 5 waktu dan mati dalam keadaan bertaubat. Renungkanlah serta ingatlah!!!

Sabda Nabi s.a.w.

Tidak akan berganjak kedua telapak kaki hamba pada hari kiamat nanti sehingga dimintai pertanggungjawab empat perkara iaitu:

1. Umurnya, bagaimana ia menghabiskannya.

2. Anggota badan, bagaimana cara ia menggunakannya.

3. Ilmu, adakah ia mengamalkannya dan dengan tujuan apa.

4. Harta, dari mana ia dapat dan bagaimana cara ia mendapatkannya serta bagaimana ia membelanjakannya.

Khamis, 10 September 2009

Khasiat Mandi


KAJIAN terbaru berkaitan dengan mandi mendapati ia bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam air suam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus.

Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun: Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit.

Mandi air sejuk: Sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yang dianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit : Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh diatasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.

Selesema dan sakit kepala : Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yang lelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk.Lakukannyaselama 10 hingga 20 minit.

Insomnia : Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah,pendarahan hidung, selsema dan sembelit.

Isnin, 7 September 2009

Sepuluh Malam Akhir Kemuncak Ramadan Oleh Dr Juanda Jaya


Umat Islam dituntut tingkat ibadat, qiamullail bagi mencapai darjat 1,000 bulan.

PUNCAK kegemilangan Ramadan berada pada sepuluh malam terakhir yang menjadi detik menentukan bagi tercapainya darjat beribadah 1,000 bulan kepada Allah SWT. Antara sunnah Rasul SAW ialah menghidupkan malam ini dengan beribadah.

Bagi sesiapa yang mencintai Nabi SAW dan berpegang kepada sunnahnya, eloklah mengutamakan malam al-Qadar daripada urusan keduniaan yang melekakan. Malam ini tiada serinya melainkan dengan solat tahajud, tilawah al-Quran, berdoa sambil mengharapkan rahmat dan bertaubat.

Sa'id bin Musayyab berkata: "Barang siapa yang berada pada waktu Isyak pada malam al-Qadar maka orang itu sudah mendapat habuan daripada kelebihan malam al-Qadar."

Habuannya mengikut sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang bangun mendirikan sembahyang pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan harapan maka akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rahmat Allah SWT turun kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mengurniakan kelebihan suatu malam untuk mendapatkan ampunan dan pahala ibadat umpama 1,000 bulan. Pada malam itu Allah SWT mencari suara hamba-Nya yang merintih, meminta dan mengharap.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: "Allah turun ke langit dunia saat sepertiga malam terakhir, Allah menyeru: Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku supaya Aku memberinya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampunan-Ku supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang berdoa supaya Aku memakbulkannya?" (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa telinga, mata dan hati berat untuk menyahut seruan Allah SWT ? Hasan Al-Basri pernah ditanya mengapa seseorang berat melakukan qiamullail? Beliau berkata: "Demi Allah sungguh dosa-dosamu sudah membelenggumu."

Al-Ghazali juga menyatakannya di dalam Ihya Ulumuddin mengenai persiapan untuk bangun sembahyang malam ialah jangan berbuat banyak maksiat pada siang hari kerana hati yang kotor dengan maksiat menyebabkan kelemahan pada tubuh badan.

Sesungguhnya mereka yang mahu mendapat kelebihan malam al-Qadar sepatutnya melakukan persiapan yang hebat untuk memenangi malam itu. Umpama seorang mujahid Bani Israel yang bersedia ke medan pertempuran, dia bersabar selama seribu bulan dalam kesusahan.

Mengapa kita menyerah kalah padahal peperangan yang kita hadapi kini hanya perang melawan diri sendiri yang malas dan lalai, tidak mahu bersyukur dan menyungkurkan wajah bersujud kepada Allah, diri dibelenggu hawa nafsunya sendiri.

Ada apa dengan kita hari ini? Adakah kita tidak termasuk senarai hamba-Nya yang teruji? Alangkah ruginya tubuh badan yang sihat namun tidak dapat menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat. Saksi yang membela tuannya, dengan apa mereka membela kita jika sedikit saja ibadat mampu dibuat.

Allah menyuruh kita sentiasa menjadi mujahid-Nya, tidak kira 1,000 bulan atau hatta sepanjang kehidupan ini. Keperibadian hamba sebegini dibanggakan Allah dalam al-Quran yang maksudnya: "Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Tuhannya dengan penuh rasa takut dan harap." (Surah al-Sajadah, ayat 16)

Kemudian disebutkan lagi sifat mereka yang membuat Allah mengasihani hamba ini, yang maksudnya: "Mereka membaca ayat-ayat Allah pada malam hari dan mereka bersujud." (Surah Ali Imran, ayat 113)

Alangkah beruntungnya apabila kita mampu istiqamah seperti Abdullah bin Umar. Beliau berkata: "Sewaktu aku masih bujang, aku tertidur di masjid, lalu bermimpi seperti halnya seorang yang tidur bermimpi. Aku melihat dua orang lelaki memegang kedua tanganku lalu mereka berdua membawaku menuju perigi yang sedang menggelegak, aku memerhatikannya dengan khusyuk lalu aku berasa amat takut. Mereka berdua berkata: Kamu jangan takut. Lalu aku mengambil sehelai kain sutera, setiap kali aku menunjuk ke suatu tempat yang berdekatan 'Raudhatul Khadra' kain itu terbang bersamaku. Aku menceritakan mimpiku kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW, kemudian dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda yang maksudnya: "Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar, jika dia melakukan qiamullail." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana perasaan anda jika Rasulullah SAW memuji dengan perkataannya; "Sesungguhnya anda lelaki terbaik, jika anda melakukan qiamullail." Malam ini jika anda bangun untuk qiamullail ingatlah pujian Rasulullah SAW tadi.

Baginda juga berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-'Ash: "Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan itu, dulu dia sering melakukan sembahyang malam kemudian dia meninggalkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sudah berapa malam kita berlalu tanpa qiamullail? Tiadakah rasa menyesal pada diri kerana melepaskan peluang mendapat rahmat dan ampunan-Nya? Mungkin 1,000 malam sudah dilalui hanya sekadar bermimpi bahkan terlepas hingga habis waktu subuh.

Alangkah baiknya jika sepuluh malam terakhir ini boleh membayar kesilapan seumur hidup kita yang lalu. Betapa Allah begitu Penyayang kepada hamba-Nya sehingga kita tidak seharusnya berputus asa.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak
Sumber: Berita Harian 8.10.2007

Ahad, 6 September 2009

Jenis-Jenis Puasa

1. Puasa Buta Celik:- Matanya kuyu, layu dan bagai tak larat nak angkat kelopak mata. Mengantuk la tu konon! Tapi bila nampak awek lalu kelopak mata yg tadinya tak larat nak angkat jadi terbeliak! Maknanya puasa korang setakat lapar perut aje!

2. Puasa Buta Membuta:- Selepas berbuka dia akan menidurkan dirinya sebab sudah kenyang tahap maksimum. Dia cuma bangun bila time sahur, itupun kadang-kadang dikejutkan dgn menyimbah sebaldi air. Selepas waktu imsak dia akan sambung tidur sehingga tiba waktu berbuka pada petangnya.

3. Puasa Nyanyuk:- Dia tak tua, dia masih muda. Sihat dari segi fizikal dan mental. Entah bagaimana sebaik tiba bulan Ramadhan penyakit nyanyuknya akan datang menyerang dan asyik terlupa lalu terbuat macam-macam hal memanjang. Bagaimanapun nyanyuk dia cuma sering termakan dan terminum ajer. Tidak pula dia terlupa nama sendiri atau di mana rumahnya.

4. Puasa Asap:- Tak makan dia boleh tahan. Tak minum pon dia tak kisah. Letaklah makanan dan minuman paling lazat kat muka bumi ini nescaya dia akan buat selamba aje. Tetapi cuma korang letakan rokok kat depannya nescaya dia akan menggelupur. Juadah berbuka dan bersahurnya sekotak rokok.

5. Puasa Borong:- Dia puasa macam org lain juga. Namun cuma satu saja masalahnya, iaitu ketika berada di Pasar Ramadhan. Kalau ada 800 jenis juadah yg dijual tak satupun dia tak beli! Sepuluh jarinya penuh jinjit bungkusan plastik. Kalau tak muat dia boleh gantung kat leher dan telinga!

6. Puasa Telan Semua:- Dia takde masalah ketika berpuasa tapi bermasalah besar bila time berbuka tiba. Mana taknya juadah berbuka puasa yg dihidang penuh satu meja dia telan semua. Andai kata kerusi meja itu pun boleh dimakan, nescaya esoknya dia akan makan atas lantai la pulak sbb kerusi meja dia dah telan.Tu pun nasib baik kalau lantai tu dia tak kopak makan.

7. Puasa Ghaib:- Dia bukan ada ilmu ghaib, ilmu hitam atau ilmu alam. Tetapi dia cukup mahir menghilangkan diri pada waktu-waktu tertentu. Bagi orang yang berpengalaman, mereka dengan mudah dapat mengesan org yang macam ni. Pertama cari kat tandas, bawah tangga, stor atau belakang opis. Beberapa meter sebelum menemuinya korang akan dpt menghidu aroma asap atau kari!

8. Puasa Menghitung Hari:- Dia bukan pakar matematik, malah masa exam dulu mmg telah diduga dia akan kantoi subjek matematik. Namun sejak 1 Ramadhan dia cukup rajin mengira. Mengira berapa hari lagi Hari Raya akan tiba. Kan elok kalau kira berapa hari dah berpuasa.

9. Puasa Belakang:- Depan og bukan main letih lagi mukanya. Nak bercakap menggigil bibir, nak melangkah ketar lutut. Macam buleh tumbang je dgn sekali tiup. Tapi dlm letih dan ketar tu dia cukup cekap menghidu mana-mana kedai yg bukak pintu belakang.10. Puasa Tanpa Nama:- Kira terang-terang tak puasa la tu! Mmg elok sangat kalau kena gantung pinggang mangkuk kat tengkuk dan diarak keliling kampung dgn kereta mayat.

10. Puasa Tanpa Nama:- Kira terang-terang tak puasa la tu! Mmg elok sangat kalau kena gantung pinggang mangkuk kat tengkuk dan diarak keliling kampung dgn kereta mayat.

Khamis, 3 September 2009

Ibadah Malam Lailatulqadar


Di antara beberapa kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah malam lailatulqadar. Pelbagai definisi diberikan oleh ulama terhadap maksud lailatulqadar itu. Dalam tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada pengertian Al-Quran, karangan Abdullah bin Mohammad Basimeh menyebut lailatulqadar itu bermaksud 'malam kemuliaan dan kebesaran'.

Dalam surah Al-Qadar ayat 1-5, Allah berfirman yang maksudnya, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh kesejahteraan, sampai terbit fajar).

Berdasarkan kepada ayat di atas kita dapati ada tiga kelebihan yang jelas pada malam lailatulqadar itu, iaitu:

1. Amal ibadat pada malam itu lebih baik dari seribu bulan atau tiga puluh tiga ribu hari atau lapan puluh tiga tahun empat bulan.

2. Malaikat dan Jibril turun ke bumi untuk mengucapkan serta mendoakan kesejahteraan untuk orang-orang yang beriman.

3. Malam itu penuh dengan kedamaian sehingga terbit fajar.

Lebih dari itu pada malam itu juga Allah mengutuskan para malaikat-Nya untuk sama-sama beribadat dengan kita, malahan turut mendoakan agar orang-orang yang beriman yang beribadat pada malam itu mendapat kesejahteraan dan diampunkan dosa-dosa mereka. Ada setengah ulama mengatakan pada malam itu dunia seolah-olah menjadi sempit dek kerana limpahan para malaikat yang melaksanakan pelbagai urusan dengan keizinan Tuhan mereka.

Malam itu juga diberikan kedamaian dan ketenteraman sepanjang malam sehingga terbit fajar. Kedamaian dalam kehidupan harian manusia merupakans atu keperluan dan satu rahmat yang cukup besar. Tanpa kedamaian kehidupan tidak memberi apa-apa erti kerana segala urusan, termasuk amal ibadat tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru malam itu kedamaian diturunkan bersama lailatulqadar agar orang-orang yang beriman berlumba-lumba mengerjakan amal ibadat tanpa diganggu gugat oleh apa-apa jua.

Para ulama tidak dapat mempastikan waktu sebenarnya berlaku lailatulqadar. Namun kebanyakan ulama berpendapat lailatul qadar itu berlaku pada malam ganjil sepuluh terakhir bulan Ramadan, iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Imam Shafi'I lebih cenderung kepada malam 21 atau 23 Ramadan. Ibnu Abbas pula berpendapat ia berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan perkataan 'hiya' dalam surah Al-Qadar itu yang merujuk kepada malam lailatulqadar jatuh pada urutan kalimah yang ke 27 dari pangkal surah al-qadar itu sendiri.

Ada hikmah yang Allah sembunyikan waktu sebenar lailatulqadar itu kepada kita sepertimana Allah tidak memberitahu kita waktu sebenar berlakunya hari qiamat. Bahkan kepada Rasulullah s.a.w. sendiri Allah tidak memberitahu mengenai kedua-dua perkara ini. Berdasarkan kepada hadis-hadis sahih hanya tanda-tandanya sahaja diberitahu.

Walau bagaimanapun 'malam kemuliaan dan kebesaran' itu menekankan kepada pentingnya memperbanyak serta melipatgandakan amal ibadat pada sepanjang bulan Ramadan, lebih-lebih lagi selepas sepuluh terakhir bulan Ramadan.

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, maksudnya: "Malam lailatulqadar itu ada pada bulan Ramadan di waktu sepuluh hari yang akhir, iaitu pada malam dua puluh satu atau malam dua puluh tiga atau malam dua puluh lima atau malam dua puluh tujuh atau malam dua puluh sembilan atau malam yang akhir dari Ramadan. Sesiapa yang bangun (mendirikan) ibadat di waktu itu kerana mengharapkan keredaan Allah dan pahanya, diampunkan Allah dosanya yang telah lalu dan dosanya yang kemudiannya.

"Oleh kerana ia merupakan satu anugerah Allah kepada orang-orang yang beriman, maka mengapa tidak anugerah itu diambil dengan melipatgandakan amal ibadah semoga kita mendapat keredaan Allah di samping dapat menikmati gandaan ganjaran pahala yang begitu besar sekali yang mungkin sukar untuk kita lakukannya pada waktu-waktu biasa sepanjang usia kita di muka bumi ini.

Petua Menyusu Bayi Pada Bulan Ramadan Oleh:Hafizah Iszahanid


KEBANYAKAN kita tahu susu ibu membekalkan nutrisi yang sangat hebat untuk pembesaran bayi. Selain membekal sistem imunisasi dan pencegahan serangan bakteria tertentu, susu ibu juga berubah rasa dan kandungan zatnya berdasarkan keperluan pembesaran bayi. Formula ini yang menjadi asas kepada penghasilan susu formula bayi yang banyak terdapat di pasaran.

Bagaimanapun tidak ramai yang tahu kaedah menyusukan bayi. Mengikut kajian Universiti Yale seperti diterbitkan dalam Jurnal Barah British 2001, mendapati wanita yang menyusu bayi berupaya mengurangkan 50 peratus risiko mendapat barah payu dara berbanding mereka yang tidak pernah menyusukan bayi.

Begitupun, apabila Ramadan tiba, kebanyakan ibu mula resah, adakah dia boleh terus menyusukan bayi? Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kalori yang diperlukan seseorang ibu yang menyusu adalah sebanyak 2,700 kcal setiap hari untuk enam bulan pertama dan 2,950 kcal selepas bayi berusia enam bulan ke atas.

Bagi seseorang wanita yang tidak hamil dan tidak menyusu, keperluan kalorinya adalah sebanyak 2,200 kcal setiap hari. Penyusuan memerlukan banyak tenaga. Selain daripada pemakanan, tenaga ini juga datangnya daripada lemak-lemak yang terkumpul pada ibu ketika hamil. Dengan itu, menyusu badan adalah antara cara untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin. Lemak yang terkumpul ini akan digunakan dalam masa enam bulan penyusuan sepenuh masa.

Seseorang ibu digalakkan menyusukan bayi sekurang-kurangnya lima atau enam bulan pertama selepas melahirkan. Justeru, amalan pemakanan yang sihat dan seimbang tentu saja diperlukan untuk memastikan pengeluaran susu yang cukup bukan saja pada Ramadan tetapi pada hari-hari biasa.

Tiga kumpulan makanan yang harus dititikberatkan adalah makanan yang memberi tenaga karbohidrat dan lemak seperti nasi dan roti, makanan yang memberi protein seperti ikan dan daging dan makanan yang mencegah penyakit seperti vitamin dan galian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Meskipun berpuasa, pengambilan makanan ketika bersahur dan berbuka seharusnya mengandungi ketiga-tiga makanan dalam kumpulan ini selain minum air dengan secukupnya. Minum banyak air semasa berbuka dan sepanjang malam.

Tetapi jika pengeluaran susu berkurangan, ibu dibenarkan berbuka puasa. Begitupun ada cara untuk memastikan bayi masih mendapat susu yang cukup iaitu dengan memerah dan menyimpannya. Susu yang diperah boleh digunakan dalam tempoh 24 jam. Susu juga boleh disimpan antara satu dan dua hari jika di dalam peti sejuk atau dua minggu jika diletakkan dalam ruang sejuk beku, tiga bulan jika dalam ruang sejuk beku dengan pintu berasingan bagi peti sejuk dua pintu.

Perahan susu yang beku disimpan di dalam botol dan ia boleh dicairkan dengan merendamkan botol dalam air suam (yang tidak mendidih). Tetapi jangan dihangatkan dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro dan jika perahan susu ini tidak dipanaskan dan tidak diminum dalam tempoh sejam, ia harus dibuang.

DUA BELAS AURAT WANITA


1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng...... .jadi hantu loceng...... ....

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah