Isnin, 7 September 2009

Sepuluh Malam Akhir Kemuncak Ramadan Oleh Dr Juanda Jaya


Umat Islam dituntut tingkat ibadat, qiamullail bagi mencapai darjat 1,000 bulan.

PUNCAK kegemilangan Ramadan berada pada sepuluh malam terakhir yang menjadi detik menentukan bagi tercapainya darjat beribadah 1,000 bulan kepada Allah SWT. Antara sunnah Rasul SAW ialah menghidupkan malam ini dengan beribadah.

Bagi sesiapa yang mencintai Nabi SAW dan berpegang kepada sunnahnya, eloklah mengutamakan malam al-Qadar daripada urusan keduniaan yang melekakan. Malam ini tiada serinya melainkan dengan solat tahajud, tilawah al-Quran, berdoa sambil mengharapkan rahmat dan bertaubat.

Sa'id bin Musayyab berkata: "Barang siapa yang berada pada waktu Isyak pada malam al-Qadar maka orang itu sudah mendapat habuan daripada kelebihan malam al-Qadar."

Habuannya mengikut sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang bangun mendirikan sembahyang pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan harapan maka akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rahmat Allah SWT turun kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mengurniakan kelebihan suatu malam untuk mendapatkan ampunan dan pahala ibadat umpama 1,000 bulan. Pada malam itu Allah SWT mencari suara hamba-Nya yang merintih, meminta dan mengharap.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: "Allah turun ke langit dunia saat sepertiga malam terakhir, Allah menyeru: Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku supaya Aku memberinya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampunan-Ku supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang berdoa supaya Aku memakbulkannya?" (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa telinga, mata dan hati berat untuk menyahut seruan Allah SWT ? Hasan Al-Basri pernah ditanya mengapa seseorang berat melakukan qiamullail? Beliau berkata: "Demi Allah sungguh dosa-dosamu sudah membelenggumu."

Al-Ghazali juga menyatakannya di dalam Ihya Ulumuddin mengenai persiapan untuk bangun sembahyang malam ialah jangan berbuat banyak maksiat pada siang hari kerana hati yang kotor dengan maksiat menyebabkan kelemahan pada tubuh badan.

Sesungguhnya mereka yang mahu mendapat kelebihan malam al-Qadar sepatutnya melakukan persiapan yang hebat untuk memenangi malam itu. Umpama seorang mujahid Bani Israel yang bersedia ke medan pertempuran, dia bersabar selama seribu bulan dalam kesusahan.

Mengapa kita menyerah kalah padahal peperangan yang kita hadapi kini hanya perang melawan diri sendiri yang malas dan lalai, tidak mahu bersyukur dan menyungkurkan wajah bersujud kepada Allah, diri dibelenggu hawa nafsunya sendiri.

Ada apa dengan kita hari ini? Adakah kita tidak termasuk senarai hamba-Nya yang teruji? Alangkah ruginya tubuh badan yang sihat namun tidak dapat menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat. Saksi yang membela tuannya, dengan apa mereka membela kita jika sedikit saja ibadat mampu dibuat.

Allah menyuruh kita sentiasa menjadi mujahid-Nya, tidak kira 1,000 bulan atau hatta sepanjang kehidupan ini. Keperibadian hamba sebegini dibanggakan Allah dalam al-Quran yang maksudnya: "Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Tuhannya dengan penuh rasa takut dan harap." (Surah al-Sajadah, ayat 16)

Kemudian disebutkan lagi sifat mereka yang membuat Allah mengasihani hamba ini, yang maksudnya: "Mereka membaca ayat-ayat Allah pada malam hari dan mereka bersujud." (Surah Ali Imran, ayat 113)

Alangkah beruntungnya apabila kita mampu istiqamah seperti Abdullah bin Umar. Beliau berkata: "Sewaktu aku masih bujang, aku tertidur di masjid, lalu bermimpi seperti halnya seorang yang tidur bermimpi. Aku melihat dua orang lelaki memegang kedua tanganku lalu mereka berdua membawaku menuju perigi yang sedang menggelegak, aku memerhatikannya dengan khusyuk lalu aku berasa amat takut. Mereka berdua berkata: Kamu jangan takut. Lalu aku mengambil sehelai kain sutera, setiap kali aku menunjuk ke suatu tempat yang berdekatan 'Raudhatul Khadra' kain itu terbang bersamaku. Aku menceritakan mimpiku kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW, kemudian dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda yang maksudnya: "Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar, jika dia melakukan qiamullail." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana perasaan anda jika Rasulullah SAW memuji dengan perkataannya; "Sesungguhnya anda lelaki terbaik, jika anda melakukan qiamullail." Malam ini jika anda bangun untuk qiamullail ingatlah pujian Rasulullah SAW tadi.

Baginda juga berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-'Ash: "Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan itu, dulu dia sering melakukan sembahyang malam kemudian dia meninggalkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sudah berapa malam kita berlalu tanpa qiamullail? Tiadakah rasa menyesal pada diri kerana melepaskan peluang mendapat rahmat dan ampunan-Nya? Mungkin 1,000 malam sudah dilalui hanya sekadar bermimpi bahkan terlepas hingga habis waktu subuh.

Alangkah baiknya jika sepuluh malam terakhir ini boleh membayar kesilapan seumur hidup kita yang lalu. Betapa Allah begitu Penyayang kepada hamba-Nya sehingga kita tidak seharusnya berputus asa.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak
Sumber: Berita Harian 8.10.2007

Tiada ulasan: