Selasa, 23 Mac 2010

13 Cara Jadi Pasangan Romantik


Hendak jadi pasangan romantik sebenarnya tidaklah sesukar mana. Tapi, semua itu perlukan kesungguhan. Amalkanlah 13 cara ini jika ingin hidup bahagia.

1. Ucapkan “I Love U”, sekurang-kurangnya sekali sehari. Ketahuilah bahawa pasangan anda memang perlu mendengarnya selalu.

2. Ciuman dan pelukan setiap kali ingin berpisah dan bertemu kembali. Hadiahkanlah si dia pelukan dan ciuman buat si dia ketika mahu ke tempat kerja dan setelah pulang ke rumah.

3. Layanilah pasangan anda seperti anda melayannya ketika sedang asyik bercinta dahulu. Perbetulkan kedudukan tali lehernya sebelum dia ke pejabat dan berpegangan tangan sentiasa walau ke mana pun anda berdua pergi.

4. Janganlah terlalu cerewet. Biarkan sahaja tabiat buruknya selagi tabiat tersebut tidak mengganggu hubungan anda berdua. Dari semasa ke semasa berusahalah untuk menghilangkan tabiat yang tidak anda gemari itu. Cubalah sedikit demi sedikit agar si dia tidak terasa. Berkat kesungguhan, kejayaan pasti menjadi milik anda.

5. Sentiasa berfikiran positif. Daripada terlalu memikirkan perkara-perkara remeh tentang si dia yang kurang anda gemari lebih baik anda tumpukan kepada kelebihan serta kebaikan si dia. Dengan cara ini, anda akan lebih menyayanginya adan begitu juga sebaliknya.

6. Jika sedang marah, jangan sesekali cuba bercakap dengannya. Tinggalkan sebentar si dia sambil anda tenangkan fikiran. Berbincang ketika marah hanya akan memburukkan lagi keadaan. Oleh yang demikian, setiap kali anda rasa marah dengannya, ambil masa beberapa minit untuk keluar daripada perbincangan tersebut dan kembali setelah perasaan anda kembali tenang.

7. Jangan sesekali menggunakan kelemahannya sebagai senjata untuk menentang mereka. Hal ini akan membuatkan si dia tambah benci pada anda dan secara automatik kasih sayang antara anda berdua akan berkurangan dan lama-kelamaan akan hilang tanpa anda sedari.

8. Utamakan yang tersayang dalam apa-apa hal sekalipun. Misalnya jika anda perlukan teman untuk ke satu-satu tempat, ajaklah si dia dahulu sebelum anda mengajak rakan sepejabat.

9. Hormatilah pasangan anda. Jangan sesekali bongkar kelemahan si dia kepada rakan-rakan walau pun kepada rakan karib anda. Setiap kali berbual-bual dengan rakan-rakan tentang pasangan, sentiasalah katakan si dia adalah pilihan terbaik anda dan anda berdua saling sayang-menyayangi.

10. Sentiasa cari masa untuk bersama. Pastikan anda ada masa untuk bersamanya setiap hari. Lebih banyak masa dapat anda luangkan bersamanya, lebih erat hubungan anda berdua.

11. “Maafkan saya.” Jika bersalah, janganlah teragak-agak untuk meminta maaf. Namun, setiap kali anda meminta maaf setelah melakukan kesilapan, sematkan dalam diri itulah kali terakhir anda melakukannya. Mintalah maaf dengan bersungguh-sungguh dan berjanjilah pada si dia yang anda tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Ketika meminta maaf jangan sesekali gunakan perkataan ‘tapi’ misalnya, “Saya minta maaf tapi ...” Hal ini kerana perkataan ‘tapi’ hanya akan membuat si dia berfikir dua kali untuk memaafkan anda.

12. Pujilah si dia selalu. Manusia tidak kira tua ataupun muda memang suka dipuji. Kata-kata pujian pada pasangan akan membakar semangatnya untuk sentiasa bersama anda.

13. Jika anda sering mengucapkan terima kasih pada juruwang, pemandu teksi, pelayan restoran apa kata kalau anda teruskan amalan berterima kasih ini pada pasangan. Tentu si dia akan rasa anda lebih menghormatinya

Selasa, 2 Mac 2010

Berkongsi tuala boleh jangkit ketuat

BOLEH dikatakan setiap daripada kita menghadapi masalah ketuat di bahagian tubuh. Biasanya ketuat tersebut tidak mengganggu dan ada juga yang boleh hilang sendiri tanpa perlu dibuang menerusi pembedahan.
Ketuat juga boleh berlaku pada kanak-kanak, untuk pengetahuan anda, ketuat berpunca dari sejenis jangkitan kuman pada kulit yang tergolong dalam kumpulan human papillomavirus (HPV).
Kuman ini boleh dijangkiti pada mana-mana bahagian tubuh, namun ia lebih serasi untuk timbul di bahagian yang lembap, sedikit panas atau boleh jadi juga di bahagian yang terguris atau luka seperti di kaki, tangan dan jari-jemari.
Ketuat ini biasanya tidak menimbulkan kesakitan melainkan jika ia tumbuh di bahagian tapak kaki atau bahagian tubuh yang selalu bergesel atau disentuh dengan kerap.
Bagaimana kanak-kanak boleh mendapat HPV? Cara mudah ialah dengan menyentuh barangan yang telah digunakan oleh orang yang mempunyai kuman HPV, sebagai contoh perkongsian penggunaan tuala atau apa saja.
Kanak-kanak yang mempunyai tabiat menggigit kuku lebih terdedah untuk jangkitan berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai tabiat tersebut.

Jenis-jenis ketuat

Ketuat biasa sering ditemui di jari, tangan, lutut dan siku. Ketuat biasanya ini bersaiz kecil, keras pada sifatnya dan berwarna perang pudar. Permukaan ketuat biasa menyerupai kubis bunga dan ada bintik-bintik hitam kecil di dalamnya.
Ketuat rata bersaiz sekecil kepala pin. Jika berlaku pada kanak-kanak rasanya lebih lembut, warnanya pula boleh jadi merah jambu, perang lembut atau kuning. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami ketuat rata ini di bahagian wajah namun tidak mustahil ia juga boleh timbul di bahagian lengan, lutut dan tangan.
Ketuat plantar pula biasanya ditemui di tapak kaki dan jenis ini memang mendatangkan ketidakselesaan pada yang menanggungnya. Boleh diibaratkan umpama berjalan di atas batu-batu kecil. Adakalanya ketuat boleh tumbuh di kawasan genital namun ia lebih banyak berlaku di bahagian jari, kaki dan tangan.

Adakah ketuat berbahaya?

Menyentuh ketuat orang lain tidak bermakna anda boleh berjangkit dengan mudah, namun virus yang menghasilkan ketuat boleh menyebabkan ia berpindah dengan mudah kepada orang terdekat dengan cara perkongsian penggunaan pakaian atau tuala.
Bahagian tubuh yang terguris atau luka juga lebih terdedah kepada penghasilan ketuat. Jika anda mempunyai tabiat mengorek ketuat juga boleh menyebabkan ia merebak ke bahagian lain pula.

Mengelakkan ketuat

Walaupun tiada cara khusus untuk mengelakkan ketuat, namun amalan kebersihan seperti kerap membasuh tangan boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan. Jika anak anda mengalami luka, gunakan sabun dan air untuk mencuci bahagian luka tersebut.

Menguruskan ketuat

Ketuat biasanya tidak mengancam kesihatan, jadi ia tidak semestinya dibuang. Para doktor akan menyarankan ia dibuang jika mendatangkan sakit atau mudarat kepada pesakit.
Cara untuk membuangkan ada pelbagai termasuk; penggunaan krim khas, cyrosurgeri, rawatan laser.
Cara potongan jarang digunakan doktor kerana akan mengakibatkan parut serta risiko ia akan tumbuh kembali.

Isnin, 22 Februari 2010

SUAMI MITHALI IDAMAN ISTERI.


Sebagai lelaki, pernahkah terfikir untuk menjadikan diri sebagai orang dikagumi? Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada semua – disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan sekali gus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat?

Kalaulah anda belum berpunya, pasti ramai yang bakal menjadi pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika anda mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna mungkin.

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.

Marilah kita selidiki kalau ciri-ciri atau petua yang dititipkan ini ada pada diri anda atau sememangnya ia sifat semula jadi anda.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami ˜mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan, kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ˜role model’ Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu
rumah.

Zuriat Sempurna

Sabda Rasullah s. a. w. "Wahai Ali ! Peliharalah wasiatku ini sebagaimana aku telah memeliharanya dari Jibril a. s"

1. Jangan berjimak di bawah pohon kayu yang berbuah. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang tukang sebat atau ketua yang bengis.
2. Jangan berjimak antara azan dan iqmah. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang suka menumpahkan darah.
3. Jangan berjimak jika isteri sedang hamil melainkan kedua-dua suami dan isteri berwuduk. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang buta hati dan bakhil tangan.
4. Jangan berjimak pada pertengahan nifsu syaaban. Jika Allah mengurniakan anak ia akan mempunyai tanda pada yang jelek pada muka dan rambutnya.
5. Jangan berjimak pada akhir bulan (tinggal 2hari). Jika dikurniakan anak ia akan menjadi seorang yang suka meminta-minta.
6. Jangan berjimak semasa syahwat terhadap saudara perempuan (adik ipar). Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang zalim, pada tanganya membuat kebinasaan kepada banyak manusia.
7. Jangan berjimak dengan isterimu di atas loteng. Jika Allah mengurniakan anak, nanti anak itu menjadi seorang munafiq, pelampau yang melewati batas.
8. Jangan berjimak dengan isterimu pada malam kamu hendak keluar bermusafir. Jika Allah mengurniakan anak ia akan membelanjakan harta pada jalan yang tidak haq.
9. Jangan berjimak dengan isterimu bila kamu keluar bermusafir dalam tempoh tiga hari tiga malam. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi pembantu kepada setiap orang yang zalim.
10. Jangan berjimak dengan isterimu pada awal malam (sebelum isyak). Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang ahli sihir, songlap dan menghendaki dunia daripada akhirat.

*************************
Cara berjimak yang dituntut :

1. Berjimak pada malam Isnin. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh dengan kitab allah dan redha terhadap segala pembahagian allah s. w. t.
2. Pada malam selasa. Jika Allah kurniakan anak ia akan mendapat nikmat mati syahid sesudah syahadah, dan allah tidak akan azabkannya (turun bala) kepadanya bersama-sama orang musyrikin. Mulutnya berbau harum, yang akan melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan mengadu domba.
3. Pada malam Khamis. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang yg bijaksana di kalangan yg bijaksana atau org alim di kalangan orang alim.
4. Sewaktu matahari di tengah langit. Jika Allah mengurniakan anak ia tidak dihampiri oleh syaitan sehingga ia tua dan menjadi seorang yang faqih serta allah s. w. t rezekikan kepadanya keselamatan agama dan dunia.
5. Pada malam Jumaat. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang pemidato yang berwibawa dan petah.
6. Hari Jumaat selepas asar. Jika Allah mengurniakan anak ia akan menjadi seorang anak yang terkenal, masyhor dan alim.
7. Malam Jummat selepas Isyak yang akhir. Jika Allah mengurniakan anak ia diharapkan menjadi seorang yang terkemuka.
8. Bacalah doa berlindung dari syaitan. Jika Allah kurniakan anak ia tidak dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.

Ahad, 21 Februari 2010

DIDIK ISTERI PERLU STRATEGI

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kretif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional? tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:

"lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya."

Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri - makhluk yang kuat perasaannya.

Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.

Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulan nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita.

Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan bepandukan ilmu tasauf.

Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah saw. Tatkala Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda Rasulullah saw.

Suatu hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah sanggup menziarai dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.

Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, "Kami sengaja mahu Rasulullah saw mendoakan untuk kami."

Begitu Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah dan bertanya tentang mendi hadas. Rasulullah menjawab, "Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya." Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya, "Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?" Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisah supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata, "Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti,"

Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan mertabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.

Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).

Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.

Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, "Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?" Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, "Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya." Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya."

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

"Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah."

Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.

Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran." Surah Al-Ashr

Cara Wanita Lalui Usia Emas


Wanita yang berisiko mempunyai berat badan berlebihan perlu mengawal pemakanan sebelum usia mencecah 40 tahun ke atas.
BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.

Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza. Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.

Menurut doktor Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa, terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Mereka akan mengalami penuaan, perubatan seperti diabetes, darah tinggi serta kanser dan risiko kanser termasuk kanser payu dara dan rahim.
"Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 40-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus. Gejala-gejala ini perlu dititik beratkan kerana jangka hayat bagi seorang wanita boleh mencecah hingga 80 tahun. Ia lebih panjang daripada jangka hayat sebelum ini.

Kajian menunjukkan senario ini disebabkan sosio ekonomi penduduk dunia semakin baik. Justeru itu, bilangan warga emas sekarang semakin tinggi. Namun, jika terlalu ramai, ia mungkin menjadi masalah kepada negara kerana kebanyakan golongan ini tidak berfungsi," jelas beliau.
Menyentuh masalah menopaus, ia biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Tambah beliau, jika mereka hidup sehingga 80 tahun, golongan ini ada 25 tahun untuk menempuh hidup ini.

Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan.
"Antara simptom yang akan merubah wanita 40-an yang mengalami proses penuaan ialah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik nak tidur dan mudah sangat nak tidur. Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada.

Pada usia meningkat ini, bagi yang berkahwin mungkin akan rasa keseorangan kerana anak-anak akan berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri. Ini turut dialami oleh wanita yang kehilangan pasangan atau belum berkahwin," jelasnya.
Selain itu, golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi akan mula rasa sakit khususnya tulang belakang.

Beliau menjelaskan, ada rawatan yang mengurangkan sakit sendi tulang tetapi tidak berkesan kerana ia masih mengehadkan pergerakan mereka.
Misalnya, golongan warga emas mungkin boleh menggunakan tongkat untuk berjalan atau duduk ketika mengerjakan solat.
Pada usia ini juga, wanita juga perlu berhati-hati kepada penyakit yang banyak terdapat dalam masyarakat seperti darah tinggi dan diabetes.
"Tidak semua wanita akan menghadapinya tetapi kemungkinan itu ada. Namun bagi wanita, ini bukan penamat kehidupan kerana masih ada rawatan untuk mengatasi masalah ini. Yang penting, masing-masing mengambil inisiatif melakukan rawatan saringan seperti mamogram, pap smear dan ultra bunyi. Ujian saringan ini penting dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Misalnya, kanser tidak mengira umur dan pemeriksaan awal perlu dilakukan untuk pencegahan awal," ujarnya.

Dr. Suhaimi memberitahu, pemeriksaan sendiri seperti payu dara perlu dilakukan sebagai inisiatif diri sendiri.
Selain itu, wanita juga perlu melakukan rutin pemeriksaan kesihatan seperti hepatitis B, kolestrol, darah tinggi dan sebagainya.
Pada masa ini, wanita merupakan golongan yang ramai bekerja. Justeru itu, penjagaan kesihatan dari awal amat penting. Namun, terdapat juga wanita yang sering menafikan penyakit mereka menyukarkan pencegahan awal.
"Tidak sukar melakukan pemeriksaan, misalnya saringan osteoporosis boleh dilakukan melalui mesin imbasan tulang. Dengan mengetahui keputusan tahap kekuatan tulang, kita boleh melakukan pencegahan awal," jelasnya.
Dalam membuat persediaan mengawal penyakit, setiap wanita perlu mengawal cara hidup mereka dengan bijak.

Selain menjaga kesihatan dengan pengambilan vitamin serta suplemen, golongan ini perlu mengambil diet yang elok.
Misalnya, bagi wanita yang mengalami menopaus, metabolisme badan akan menjadi rendah. Justeru itu, mereka disaran kurangkan makan, pilih makanan berkualiti, protein tinggi, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, mereka perlu mengawal pengambilan glukosa dan karbohidrat.
"Sebagai gaya hidup yang sihat, setiap orang perlu melakukan senaman. Antara kelebihan senaman ialah mengurangkan tekanan dan risiko obesiti. Ramai wanita tidak tahu masalah kitaran haid dipengaruhi oleh masalah obesiti. Oleh itu, pengawalan berat badan amat perlu. Selain itu, senaman dapat mengimbangkan dan menguatkan otot.

Namun, senaman yang dilakukan perlu mengikut kemampuan peringkat umur. Bagi mereka yang tidak larat, tidak perlu berlari. Hanya banyakkan berjalan seperti waktu pagi sekurang-kurangnya hingga berpeluh," katanya.
Pelbagai penyakit yang boleh dihadapi wanita berusia 40-an;

Menopaus


Bermaksud tiada lagi mengalami kedatangan haid
· Anda tidak boleh lagi mendapat zuriat
· Haid mungkin berhenti secara tiba-tiba, beransur-ansur atau tidak tetap
· Menopaus berlaku di kalangan wanita yang berumur 45 hingga 55 tahun, purata pada umur 50 tahun.


Adakah rawatan untuk tanda tanda menopaus?
Tingkatkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan dengan berkesan gejala-gejala menopaus yang tidak disenangi. Ini termasuk makanan berkhasiat, elakkan merokok, selalu bersenam, berfikir secara positif, melakukan pemeriksaan Pap Smear, melakukan pemeriksaan payu dara dan rawatan hormon gantian ( HRT ).


Kanser payu dara

· Dua peratus daripada pesakit ini berumur kurang daripada 30 tahun dan majoriti pesakit kanser dalam lingkungan umur 40-49 tahun apabila mereka mula-mula didiagnosis.
· Di Malaysia, dianggarkan 27 wanita daripada setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payu dara berbanding 18 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser pangkal rahim (penyebab kedua kanser yang sering berlaku di kalangan wanita).
· Dalam setahun dianggarkan seramai 2,700 - 3,000 kes baru didiagnosis sebagai kanser payu dara.
· Perlu lakukan pemeriksaan payu dara anda dengan kerap melalui Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP).
· Ujian yang dijalankan jika disyaki kanser termasuk ujian darah, Fine Needle Aspiration Biopsy (FNAB) Core Needle biopsi, ultra bunyi dan mamogram.


Kanser rahim

· Di Malaysia, senario yang sama berlaku dan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
· Dianggarkan lebih kurang 18 orang wanita daripada setiap 100,000 penduduk mengidap kanser ini.
· 7.9 peratus (2,000 - 3,000 kes setiap tahun) dari semua kes kanser yang dimasukkan ke hospital kerajaan adalah terdiri daripada kanser rahim.
· 10.5 peratus daripada kematian wanita yang mengidap kanser di hospital kerajaan adalah disebabkan oleh kanser rahim.


Bagaimana untuk mencegah kanser pangkal rahim?
· Mencegah lebih baik daripada merawat.
· Amalkan cara hidup yang sihat.
· Setia pada pasangan anda.
· Lakukan pap smear setiap tiga tahun.
· Terdapat vaksin terbaru yang boleh mengawal kanser ini.


Osteoporosis

· Merupakan satu keadaan di mana tulang menjadi kurus dan lemah. Ia menyebabkan tulang anda menjadi sangat rapuh.
· Individu yang menghidapi osteoporosis mempunyai tulang yang rapuh dan cenderung mengalami masalah patah tulang pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.
· Individu pada semua peringkat umur, tulangnya tidak mencapai ketumpatan yang optimum semasa zaman kanak-kanak dan remaja, berisiko mengalami osteoporosis. -Keadaan ini berlaku terutamanya kepada warga emas.


Risiko terhadap osteoporosis boleh dikurangkan dengan:

· Pengambilan makanan yang seimbang: Pastikan anda mengambil cukup kalsium, magnesium dan vitamin D untuk kesihatan tulang.
· Bersenam secara tetap: Lakukan latihan senaman imbangan berat seperti berjalan dan angkat berat serta jenis senaman yang lain termasuk Tai Chi.
· Amalkan gaya hidup sihat seperti pengambilan diet yang sihat dan seimbang (Panduan Diet Malaysia), elakkan merokok, mengawal stres dan kurangkan pengambilan minuman beralkohol.
Obesiti
· Berat badan anda bertambah apabila anda makan banyak, lebih daripada apa yang boleh dibakar oleh badan anda. Kalori yang lebih ini akan disimpan sebagai lemak.
Berlebihan berat badan dan kegemukan/obesiti di kalangan remaja dikaitkan dengan :
· Masalah jantung seperti penyakit darah tinggi/hipertensi dan paras kolesterol yang tinggi.
· Penyakit Kencing Manis/ Diabetes.
· Kesan psikologikal seperti kemurungan dan kurang keyakinan diri.
· Masalah pernafasan seperti asma serta masalah tidur.
· Komplikasi sendi dan tulang seperti osteoartritis dan kesakitan tulang pinggul.
· Bertambah gemuk apabila umur meningkat.

BAHASA ISTERI YANG PERLU DIFAHAMI SUAMI


Tanpa komunikasi yang betul keserasian rumah tangga sukar diwujudkan. Sikap isteri dalam keadaan tertentu sukar difahami suami. Dia akan terus berteka-teki dalam perkara itu namun tidak mahu berterus terang. Apabila isteri melakukan sesuatu perkara selalu disalahtafsirkan.

Mereka ini walaupun berkahwin setelah melalui proses perkenalan yang panjang, namun peluang yang ada itu tidak digunakan untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka terlupa untuk mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sebagai suami isteri.

Walaupun mereka bertunang bertahun-tahun, namun mereka tidak sempat untuk menilai apakah antara mereka ada perbezaan yang boleh saling lengkap melangkapi. Mereka terlupa untuk melihat keserasian pasangan secara lebih jelas.

Biasanya waktu berkawan mereka terlalu enjoy, hendak seronok sahaja. Semua yang ada pada kekasih masing-masing dilihat indah walaupun buruk. Pada waktu bertunang pula mereka asyik berbincang soal persiapan fizikal sahaja. Padahal jika mereka mengambil puluang itu untuk mengenali peribadi, perwatakan, dan isi budi masing-masing adalah lebih bermanfaat.

Sebenarnya, sewaktu berkawan dan bertunang adalah waktu terbaik untuk mereka mengenali semua itu. Mereka harus mengenali cara pasangannya bercakap, cara dia bertindak dan sebagainya. Semua yang dilakukan itu melambangkan sikapnya sebenar. Jika mereka benar-benar faham, banyak yang boleh diatasi semasa berkahwin.

Kesan daripada tidak faham kaedah komunikasi yang berkesan itu, banyak pasangan yang berkahwin mengalami krisis. Sikap isteri tidak difahami oleh suami hingga kadang-kadang perkara kecil menjadi besar. Dalam ruang ini saya cuba paparkan sikap isteri yang seharusnya suami tahu dan bertindak bagi mengatasinya.

1. Waktu merajuk


1.Sikap :Tiba-tiba tak mahu bercakap
Maksudnya :Dia tidak suka dengan tindakan suami sebelum itu
Mengatasinya :Berterus terang maksud tindakan, jika perlu minta maaf


2.Sikap :Tiba-tiba marahkan suami
Maksudnya :Dia cemburu dengan tindakan suami
Mengatasinya :Perlu selidek puncanya, mungkin salah sangka. Jika pasti, berterus terang, bukan menipu

3.Sikap :Tiba-tiba menangis
Maksudnya :Dia sakit hati dengan tindakan suami
Mengatasinya :Beri penjelasan isu yang ditimbulkan. Beri keyakinan tentang kasih sayang.

4.Sikap :Tidak mahu memberi khidmat
Maksudnya :Dia sungguh kecewa dengan sikap suami
Mengatasinya :Nilai semua kesilapan suami, dan betulkan semula apa yang tidak disenangi. Jika masih tidak mahu menerima, tinggalkan dia di rumah untuk memberi ruang dia berfikir


Suami yang tidak memahahami sikap isteri di atas akan bersangka buruk terhadap isterinya malah ada yang menuduh isteri curang.

2. Waktu gembira

1.Sikap :Dia sudah rajin masak
Maksudnya :Tindakan suami sebelum itu menyenangkan hatinya
Mengatasinya :Teruskan sikap itu, jika perlu puji kerajinannya


2.Sikap :Dia tidak banyak soal waktu kepulangan suami
Maksudnya :Dia puas hati dengan tindakan suami
Mengatasinya :Ucapkan terima kasih kepada isterinya dan menten keadaan itu

3.Sikap :Dia siap untuk tidur awal
Maksudnya :Dia sudah akur dengan kehendak suami
Mengatasinya :Belajari sikap dan pengalaman manis itu untuk tidak mengulangi kebencian isteri

4.Sikap :Dia bercakap dengan nada manja
Maksudnya :Dia mahu suaminya bersikap seperti itu juga
Mengatasinya :Hargai sikap isteri dan jauhi dari sikap kontra

Suami yang tidak faham dengan tindakan isteri akan terus menyangka isterinya ada udang di sebalik batu. Akhirnya suami tidak bertindak yang sewajarnya.

3. Waktu benci

1.Sikap :Kehendak suami tidak dilayan
Maksudnya :Dia mahu suami mengubah sikap yang buruk
Mengatasinya :Baiki kesilapan bukan mempertahankannya

2.Sikap :Tidak mahu bercakap apabila ditanya walaupun dengan baik
Maksudnya :Dia memprotes sikap suami yang tidak istiqamah berbuat baik
Mengatasinya :Menilai sikap diri mana yang buruk dibuang dan yang baik diperbanyakkan

3.Sikap :Makan tidak selera
Maksudnya :Dia mahu simpati daripada suaminya
Mengatasinya :Suami perlu melihat masalah isteri dan cuba selamatkan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat

4.Sikap :Tidur seorang diri
Maksudnya :Dia mahu suaminya bertanggungjawab kepada dirinya
Mengatasinya :Suami perlu menilai kelemahan diri dan cuba membaiki kekurangan itu demi kasih sayang

Oleh sebab tidak faham tindakan isteri suami terus marah kepada isteri. Dan atas sikapnya yang tidak sabar itu mereka bergaduh.

4. Waktu mengharap

1.Sikap :Muka masam
Maksudnya :Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan
Mengatasinya :Bertanya sebab dan cuba atasi kehendaknya

2.Sikap :Meminta maaf sambil menangis
Maksudnya :Dia benar-benar insaf
Mengatasinya :Terimalah seadanya dia, dan selepas memaafkannya, nasihatkan berdasarkan kehendak Islam dan apa yang anda mahu

3.Sikap :Melihat sesuatu barangan dalam tempoh yang lama dan memujinya
Maksudnya :Dia hendak meminta suami membelinya
Mengatasinya :Suami perlu memberi pertimbangan sewajarnya sama ada untuk membelikannya atau tidak

Contoh sikap isteri yang dipaparkan ini mungkin tidak bermaksud begitu, tetapi sebagai suami, tindakan isteri perlu dikaji dengan teliti. Kadang-kadang yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh menilai dengan tepat. Tetapi yang paling penting semua yang berlaku harus disangka baik. Nanti yang negatif akan menjadi positif.