Khamis, 12 November 2009

ALAM MAHSYAR


1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.
2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

15. 'Arasy ( عرش ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi ( كرسي ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.

27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Gelombang H1N1 di Musim Tengkujuh


MUSIM tengkujuh kini kembali. Amaran berjaga-jaga kemungkinan banjir telah diuar-uarkan di dalam media elektronik dan media cetak kepada penduduk terutamanya di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung sejak beberapa hari lalu.

Pada masa yang sama Malaysia turut dijangka mengalami gelombang kedua H1N1.
Pada musim tengkujuh ini penularan virus H1N1 dijangka berlaku dengan lebih cepat kerana hujan yang berterusan memudahkan orang ramai terutama sekali kanak-kanak mendapat selesema yang dikhuatiri akan bercampur dengan virus H1N1 ini.

Statistik terkini yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 5 November 2009 , Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican seperti laporan Utusan Malaysia, menunjukkan angka kematian akibat wabak selesema babi di negara ini kekal 77 orang.

Tetapi dalam tempoh 25 hingga 31 Oktober lalu, seramai 255 pesakit baru yang mempunyai gejala 'ILI' dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 213 pesakit telah dibenarkan pulang.

Akhbar tersebut juga menyiarkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang telah memaklumkan pengurangan jumlah kes H1N1 dengan begitu ketara iaitu daripada 400 hingga 500 kes sehari kepada 20 hingga 30 kes.

Meskipun keadaan di serata dunia termasuk Malaysia kelihatan stabil, namun Pengarah Besar Pertubuhan Kesihatan Sedunia ('WHO'), Margaret Chan telah memberi amaran
bahawa virus Influenza A (H1N1) akan muncul kembali dengan serangan yang lebih kuat.
Beliau seterusnya berkata bahawa kadar kematian yang tidak menunjukkan 'trend' peningkatan yang mendadak tidak bermakna wabak ini akan terus berakhir.

Sehubungan itu, langkah Kementerian Kesihatan mewujudkan Pasukan Pemantau Wabak H1N1 yang akan diterajui oleh Bahagian Kawalan Penyakit seperti mana diumumkan oleh Menteri Kesihatan untuk memantau situasi setiap hari dan mengesan jangkitan penyakit itu merupakan satu langkah proaktif bagi mengawal penyebaran wabak H1N1 ini terutamanya di musim tengkujuh.

Rakyat harus bergerak seiringan bersama-sama kerajaan bagi mengawal wabak H1N1 agar tidak menjadi lebih serius dan menjadi ancaman kepada semua sehingga kerajaan perlu pula mengumumkan wabak ini sebagai "darurat kesihatan".

Tidak ada gunanya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sahaja yang dilihat bersungguh-sungguh menangani wabak ini.

Semua hospital diarah menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi ('ICU') dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat. Tetapi pada masa yang sama, orang ramai masih bersikap acuh tak acuh tentang wabak ini.

Harus diingat sekiranya orang ramai masih memandang remeh, kesannya boleh membawa maut sekiranya lambat mengesan dan memberi suntikan kepada mangsa (pesakit) H1N1.

Hebahan demi hebahan telah dibuat melalui media massa dan media elektronik untuk menyedarkan orang ramai berkaitan wabak ini dan langkah-langkah kawalan yang perlu diambil.

Namun jika diperhatikan di kawasan-kawasan yang mempunyai risiko terdedah kepada jangkitan seperti stesen-stesen bas, pusat membeli-belah, kenderaan-kenderaan awam dan majlis-majlis keramaian, orang ramai yang memakai topeng perlindungan amatlah kurang dan boleh dibilang dengan jari.

Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab dan media masih belum mampu menyemai kesedaran kepada majoriti rakyat.

Di sekolah pun amat kurang pelajar yang memakai topeng ketika ini berbanding dengan musim awal penularan wabak H1N1 dan laporan kematian tersiar di dada-dada akhbar saban hari.

Orang ramai masih bersikap tunggu dan lihat. Namun janganlah sampai "sudah tehantuk, baru terngadah".

Sepatutnya perlu ada usaha bersungguh-sungguh di kalangan orang ramai seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani penularan virus ini.

Khamis, 5 November 2009

Merendah diri di Masjidilharam


Jemaah perlu banyakkan beramal ketika di Tanah Suci mohon keberkatan

MASJID adalah institusi penting dalam sejarah tamadun Islam. Selain menjadi tempat mendirikan ibadat solat fardu, ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu dan pentadbiran Islam. Sejajar dengan peranannya yang besar, seharusnya setiap individu menjaga perilaku ketika berada di masjid.

Jemaah haji sangat bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat di tempat mustajab doa khususnya dalam Masjidilharam. Rasulullah SAW bersabda: Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam lebih afdal daripada 100 kali solat di masjid-Ku ini (iaitu 100 ribu kali di masjid lain) (HR Imam Ahmad r.a.). Melihat kepada kelebihan ini, jemaah haji hendaklah menanamkan satu azam agar mereka sentiasa berusaha memakmurkan Masjidilharam sepanjang berada di Makkah al-Mukarramah.

Dalam ruangan ini, dipaparkan beberapa adab dan panduan yang wajib diberi perhatian serius oleh jemaah haji ketika berada di Masjidilharam, agar amalan mereka benar-benar mendapat keredaan Allah SWT dan ganjaran daripada-Nya. Adab dan panduan itu adalah seperti berikut:

Adab Menuju ke Masjidilharam

Ikhlaskan niat. Niat yang ikhlas adalah kunci bagi segala amalan salih diterima oleh Allah SWT. Firman Allah: Tidak mereka diperintah melainkan agar beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan (Al-Bayyinah 98:5). Justeru, jemaah haji hendaklah menghindari sifat menunjuk-nunjuk dan bermegah kononnya dialah yang paling rajin ke masjid.

Menyucikan diri Jemaah haji kebiasaannya berada lama dalam masjid. Bagi memastikan keselesaan beribadat, sempurnakan khidmat diri sebaik mungkin seperti membuang air, menggosok gigi, berwuduk dan berpakaian bersih yang bersesuaian. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci dan berwuduk untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya seumpama menunaikan haji. (HR Imam Abu Daud).

Berjalan dengan penuh ketenangan dan tawaduk Mulakan langkah menuju ke masjid dengan kaki kanan. Berjalan dengan tenang mengikut arus sambil mempelbagaikan doa. Antaranya: Ya Allah! Jadikanlah dalam hati dan lisanku cahaya, pada pendengaran dan penglihatanku cahaya, dan di hadapan, belakang serta di sekelilingku cahaya. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku nur (cahaya). Hindari daripada window shopping.

Adab Masuk ke Masjidilharam

Membuka kasut dan berdoa Apabila menghampiri pintu, buka kasut dan masuk ke masjid dengan kaki kanan sambil berdoa: Ya Allah! Bukakanlah bagiku pintu rahmat dan keampunan-Mu. Lafazkan salam kepada penjaga pintu dan berikanlah kerjasama sekiranya diperiksa.

Iktikaf dan tawaf Sebaik-baiknya jemaah berniat iktikaf sejurus selepas masuk. Berdoa apabila melihat Baitullah. Tunaikan tawaf Tahiyyatul Bait. Elakkan kesilapan dan salah faham terhadap kaifiyyat serta fadilatnya seperti bersesak-sesak di penjuru Hajarul Aswad dan solat di belakang Makam Ibrahim sehingga menyulitkan jemaah lain. Sekiranya tiada berkesempatan tawaf, memadai dengan solat Tahiyyatul Masjid.

Adab berada dalam Masjidilharam


Mencari ruang solat berhati-hati agar tidak berada di kawasan pintu dan laluan kerana ini akan mengganggu jemaah dan menyebabkan kehilangan tumpuan beribadat. Justeru, lihat, pilih dan tuju ke ruang sesuai agar jemaah tidak dilangkah-langkah ketika khusyuk bermunajat.

Duduk menghadap kiblat. Datanglah awal agar dapat berada di saf hadapan dan berkesempatan melihat Baitullah. Sesungguhnya, rahmat Allah sentiasa menaungi Baitullah dan makhluk yang memakmurkannya. Elak percampuran antara saf lelaki dan saf wanita kecuali dalam darurat. Jangan mengambil ruang yang luas untuk duduk kerana ini menafikan hak jemaah lain. Sekiranya terlewat, jangan menyempit sehingga menyusahkan mereka.

Berzikir, munajat dan tafakur. Selesai mengerjakan tawaf, solat fardu dan sunat, basahkan lidah dengan membaca al-Quran, berzikir dan ibadat lain. Penuhkan hati dengan cahaya petunjuk ilahi. Sentiasa bermuhasabah dengan menumpukan minda pada kelemahan diri agar berasa kerdil di hadapan Allah SWT. Beribadatlah dengan penuh khusyuk. Tunaikan solat sunat pada bila-bila masa kerana tiada waktu yang dilarang solat di Makkah.

Berdoa ke hadrat Allah Berdoalah dengan hati yang tawaduk dan ikhlas. Tanamkan suatu pengharapan yang tinggi bahawa doa yang dipanjatkan ke hadrat ilahi akan dimakbulkan. Jangan cepat berputus asa kerana Allah tidak sekali-kali mengabaikan hamba-Nya yang beriman, beramal salih dan memohon kepada-Nya.

Hindari kejahatan & lagha. Jemaah haji adalah tetamu Allah. Justeru, mereka hendaklah berakhlak dan berbudi pekerti mulia sepanjang berada di Tanah Suci. Jangan menyakiti jemaah lain seperti bertolak-tolak ketika masuk ke masjid atau tawaf, begitu juga ketika berebutkan saf. Mafhum hadith: Antara manusia yang paling dibenci oleh Allah ialah mereka yang melakukan ilhad (kejahatan) di Tanah Haram� (HR Imam al-Bukhari). Jauhi berbual-bual kosong perihal dunia semata-mata atau mengajuk perbuatan jemaah lain ketika berada dalam masjid apatah lagi sekiranya perbuatan itu menyentuh sensitiviti jemaah dan menimbulkan perselisihan faham atau perkelahian.
Elak bermundar-mandir dalam masjid kerana perbuatan itu adalah bid'ah.

Adab keluar dari Masjidilharam

Memohon keampunan dan keselamatan Sebelum keluar dari masjid, jemaah hendaklah memohon keampunan dan keselamatan dirinya sepanjang perjalanan pulang ke hotel. Tanamkan niat dan tingkatkan harapan agar diizinkan Allah untuk dapat kembali mengerjakan ibadat di Masjidil Haram pada masa terdekat.

Wakaf Masjid dan Luqatah

Jemaah dilarang merosak atau membawa keluar barang Masjidilharam kerana bukan haknya. Bagi yang menjumpai barangan yang tercicir (Luqatah), biarkan saja di situ. Sekiranya perlu dan tahu arah, bolehlah diambil untuk diserahkan ke Kaunter Luqatah. Jemaah adalah haram mengambilnya bagi kegunaan sendiri.

Ini beberapa adab dan panduan yang boleh dijadikan bekalan jemaah haji semasa mereka berada di Masjidilharam. Semoga adab dan panduan ini dapat dimanfaatkan supaya segala ibadat dan amal soleh yang ditunaikan benar-benar mengikut kehendak dan ketentuan syarak. Binalah silaturahim dengan berakhlak mulia agar hari-hari yang dilalui setiap jemaah ketika berada di sana benar-benar terisi dan diberkati ilahi.

Selasa, 3 November 2009

Jadilah Suami Terbaik


MENJADI suami terbaik adalah impian lelaki sejati. Untuk berjaya, lelaki mengimpikan sebuah rumah tangga yang bahagia di samping isteri tercinta serta cahaya mata yang comel dan bijak.

Begitu juga dengan wanita. Mereka mengimpikan lelaki yang mampu menyayanginya, berkongsi susah senang dan sekali gus membesarkan cahaya mata tanpa sebarang masalah.

Bagi membentuk rumah tangga bahagia, bukan satu pihak saja yang harus berkorban. Baik suami mahupun isteri, mereka harus sepakat dalam mengemudi bahtera menuju destinasi yang diimpikan bersama.

Panduan berikut barangkali boleh membantu pasangan khususnya si suami untuk mengemudi rumah tangga ke arah kebahagiaan.
  • Usah membelakangkan pendapat isteri dalam membuat sebarang keputusan berhubung rumah tangga atau perkara lain. Minta pendapat isteri supaya dia berasa lebih dihargai.
  • Suami yang gagal menonjolkan akhlak mulia akan mengurangkan rasa hormat keluarga padanya. Hilangnya contoh yang baik dalam keluarga adalah antara punca anak menjadi liar.
  • Suami tidak seharusnya terlalu tegas dan kasar pada anak kerana ia mengganggu proses perkembangan serta emosi. Awasi bahasa percakapan dan hindari ungkapan kesat atau maki hamun.
  • Suami yang bersikap ganjil atau gila-gila akan mengurangkan rasa hormat serta memberi tekanan pada anak dan isteri. Suami yang matang dan berwibawa akan lebih dicontohi lagi dihormati.
  • Suami yang tidak tetap pendirian dalam membuat keputusan tidak dapat membimbing ahli keluarganya dengan sebaik mungkin. Antara punca kegagalan adalah sikap ragu-ragu.
  • Suami tidak seharusnya menggunakan cara menggertak atau mengugut isteri walau untuk apa tujuan sekalipun. Perbuatan itu sebenarnya hanya memperlekehkan isteri.
  • Suami yang kerap pulang lewat ke rumah akan hanya memberi tekanan pada isteri dan anak-anak. Berusaha seawal mungkin untuk berada di rumah kerana seorang suami sering ditunggu kepulangannya.
  • Suami yang gagal menguruskan masanya dengan baik dan berkesan turut gagal dalam meluangkan masa bersama isteri serta anak. Usah jadikan rumah ibarat tempat persinggahan.
  • Suami yang mengabaikan rumah tangga serta tidak memberi perhatian pada isteri dan anak akan hanya membuatkan mereka rasa tidak diperlukan. Bijak memperuntukkan masa dan sesekali bercuti bersama mereka.
  • Suami yang tidak bersedia memohon maaf daripada isteri sebenarnya ego dan menyakiti hati isteri. Ungkapan maaf pada isteri boleh membuatkan suami lebih disayangi dan dihormati.
  • Usah mengkritik isteri keterlaluan sama ada dari segi penampilan, masakan atau apa saja kerana ia akan memadamkan kreativiti serta semangat si isteri. Pujian dan dorongan mampu meningkatkan semangatnya.
  • Usah berbohong pada isteri kerana ia boleh menggugat kepercayaan isteri pada suami apabila ia terbongkar. Bersemuka dengan isteri lebih menyerlahkan kejujuran.
  • Isteri tidak gembira jika suami terlalu kedekut atau berkira untuk perbelanjaan keluarga. Sesekali hiburkan hati isteri dengan menunaikan permintaannya asalkan tidak keterlaluan.
  • Isteri mungkin kecewa jika suami gagal mengingati tarikh penting dalam hidup mereka seperti ulang tahun perkahwinan dan kelahiran. Hargailah isteri dengan ucapan atau pemberian.
  • Suami yang pendiam, dingin dan pasif dengan isteri sebenarnya gagal mengemudi perkahwinannya dengan baik. Kedinginan suami menyebabkan isteri rasa terpinggir dan tidak dipedulikan.
  • Suami yang kurang komunikasi dan interaksi dengan isteri atau keluarga menyebabkan anak dan isteri semakin menjauh daripadanya. Banyakkan sentuhan dan renungilah mata mereka sedalam-dalamnya.
  • Suami tidak harus bermata keranjang kerana sikap itu menunjukkan perangai yang tidak matang di samping melukakan hati isteri.
  • Suami yang cemburu buta pula adalah suami yang tidak rasional. Cemburu adalah tanda sayang, namun biarlah berpada-pada kerana ia boleh merosakkan kesabaran dan kepercayaan isteri.
  • Suami yang cetek ilmu agamanya tidak dapat berfungsi sebagai ketua keluarga dengan cemerlang. Kegagalan memberi nilai rohani kepada mereka membenihkan kemungkaran.
  • Usah bandingkan isteri dengan wanita lain kerana setiap manusia mempunyai keistimewaan sendiri. Sudah lumrah kiranya ada kekurangan kerana mereka dijadikan Allah untuk saling melengkapi.
  • Elakkan mungkir janji dengan isteri dan anak-anak kerana kegagalan menepati janji pasti akan mengecewakan hati mereka.
  • Usah biarkan urusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak pada isteri saja. Walaupun isteri diamanahkan membimbing mereka, suami perlu bersama untuk memberi perhatian sewajarnya.
  • Suami tidak harus memendam perasaan jika tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara. Ia ibarat gunung berapi yang pasti akan meletup bila-bila masa dan boleh memakan diri.

Isnin, 2 November 2009

Tips Bijak Uruskan Masa


Sebijak mana seseorang itu belajar namun kegagalan menguruskan masa memungkinkan mereka gagal dalam hidup.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata pengurusan masa penting kerana ia membentuk disiplin seseorang untuk berjaya.

“Setiap pelajar mesti merancang masa belajarnya, ulang kaji, bermain dan kokurikulum.“Kegagalan mengurus masa antara faktor kegagalan dalam pelajaran,” katanya.

Berikut adalah beberapa petua untuk muncul pelajar yang bijak mengurus masa:

1. Pastikan waktu mengulang kaji anda lebih dari tiga jam sehari. Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar lima hingga tujuh jam sehari.

Dalam tempoh itu, anda mungkin belajar sejam pada waktu subuh, dua jam pada waktu petang dan tiga jam pada waktu malam.

2. Tahap tumpuan belajar adalah berbeza. Ada pelajar yang boleh tumpu selama sejam dan ada hanya 20 minit. Jangan paksa diri anda.

Sekiranya tumpuan terganggu, ambil rehat seketika kira-kira lima minit. Selepas itu sambung semula belajar. Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang anda ketahui sebelumnya.

3. Dalam satu sesi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu. Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang sudah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.

4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar. Jumlah bahan yang mahu diulang kaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar ditetapkan.

5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan mengenai bahan yang mahu diulang kaji. Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan.

6. Sediakan senarai tugas harian pada malam sebelumnya. Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari. Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan. Seperti kata Stephen Covey; “Put first things first”.

7. Rekodkan perkembangan anda pada sehelai kertas. Setakat mana anda lakukan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai ‘To do’ anda.

8. Beri ganjaran buat diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.

9. Gunakan teknik membaca yang berkesan. Membaca sejam penuh tumpuan lebih baik dari membaca tiga jam dengan fikiran melayang.

10. Fokus sekurang-kurangnya 50 peratus daripada masa belajar anda terhadap proses ‘Recall’. Iaitu proses memanggil semula maklumat.11. Gunakan kad kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil antara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas dan lain-lain.

Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya sejam hingga dua jam dalam sehari. Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil.

12. Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten sejam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun? Ke mana perginya lagi 350 hari masa anda?YAng paling penting... ..DUIT... ..Doa... Usaha... Iktikad... Tawakal..InSyaALLAh

Ahad, 1 November 2009

BAGAIMANA MENGHADAPI TENSION


Setiap hari, ada-ada sahaja perkara yang mencabar kesabaran dan menekan jiwa kita. Anak meragam, suami buat tidak perduli, isteri merajuk atau bermasam muka, rakan sepejabat [kantor] mengumpat di belakang, perniagaan tidak menguntungkan, saham jatuh nilai dan lain-lain lagi. Begitulah nasib kita manusia. Sejauh mana pun kita cuba untuk mengelakkan perkara-perkara yang mengganggu keselesaan kita, ia tetap akan berlaku juga.

Sebagai makhluk yang diciptakan, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan Tuhan. Kalau Tuhan mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita menjadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga. Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa.

Lantas, persediaan apa yang perlu kita buat untuk menghilangkan tension ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib 'malang' yang pasti menimpa kita? Antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Tuhan sebagai pemberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa. Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat oleh Tuhan. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu,Tuhan jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Tuhan timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Tuhan ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:

a. Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

b. KalauTuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkanTuhan tidak membantu kita.

c. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Tuhan mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita ungkai rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Tuhan sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

d. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan.

Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tidak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepadaNya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya.

3. Hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Tuhan secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan mendapat hasil yang negatif.

Contohnya: Kita ditakdirkan mendapat anak-anak yang nakal. Setiap hari, ada sahaja kelakuannya yang sangat mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita, "Kerana dosa akulah anak-anak aku ini nakal. Allah buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yanglepas."Ataupun kita boleh berkata begini, "Tuhan beri aku ujian ini untuk memberi aku pahala sabar.

Kalau aku sabar, bukan sahaja aku akan dapat ganjaran di sisi Tuhan tetapi yang lebih penting, aku dapat mendekatkan diri kepada Tuhan."Kalau beginilah penerimaan kita, tentulah kita tidak akan marah-marah atau membebel [babble], merotan, memukul dan menghukum anak di luar batasan atau mengamuk-ngamuk kepada suami kita pula.

Sebaliknya, kita akan terus-menerus menasihatinya dengan baik dan mendoakan anak kita agardia menjadi anak yang soleh satu hari nanti. Dan lazimnya, berkat baik sangkanya kita kepadaTuhan, anak itu akan menjadi anak yang baik apabila dia besar. Ini selaras dengan firman Tuhan yang maksudnya: "Aku di atas sangkaan hamba-hambaKu ke atas-Ku. "Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram dengan menghukum anak serta terbawa-bawa sikap marah itu kepada orang lain.

Hati kita mungkin berkata,"Kenapalah Tuhan berikan aku anak yang senakal ini," atau kita akan berkata, "Tidak guna dapat anak macam ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan saja."Akibat didikan yang kasar itu serta sangkaan-sangkaan yang buruk terhadap Tuhan, anak itu bilabesar kelak akan menjadi anak yang tidak baik akhlaknya. Tension yang kita hadapi bila anak itu kecil akan terus kita hadapi sehingga dia besar.

Bukan sahaja anak kita yang rugi, kita juga akan turut rugi sama. Ini semua kerana buruk sangkanya kita dan tidak pandainya kita menerima takdir Tuhan.Lantaran itu, terimalah segala takdir Tuhan dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapatmenambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita.

Bahaya Ekstasi


Penggunaan dadah perangsang jenis ekstasi sangat popular pada masa ini terutamanya bagi golongan muda yang suka berhibur. tetapi adakah mereka sedar bahawa ekstasi ini boleh mengakibatkan kemudaratan teruk kepada penggunanya.

Ekstasi adalah dadah jenis perangsang yang boleh menyebabkan kesan 'psychodelic' iaitu perubahan paras kesedaran pemikiran seseorang.

Ia adalah nama jalanan kepada 'Methylenedioxy-metaphetamine' ('MDMA') yang terhasil dari analog meskalin dan amfetamin. Ia juga dikenali sebagai 'feel-good-drug' kerana boleh meningkatkan daya tahan pengguna dan menghasilkan kesan 'euphoria'.

Nama jalanan lainnya ialah 'XTC', 'adam', 'hub', 'pil kuda', 'live drug', 'lover's speed', 'playboy' dan 'pink lady'.

Dadah jenis ini biasanya bentuk tablet dengan pelbagai corak dan warna. Ia dibentuk sedemikian rupa untuk memenuhi cita rasa pengguna muda dengan cara menelan sahaja.
'MDMA' (ekstasi) mula diperkenalkan pada 1912 oleh Merck Chemist Kollisch sebagai bahan yang digunakan untuk menghentikan pendarahan.

Selepas itu, banyak kajian dijalankan ke atas 'MDMA' ini untuk manfaat bidang perubatan. Tetapi pada awal 1970-an MDMA mula disalah gunakan sebagai dadah jalanan untuk kegiatan hiburan golongan tertentu di negara-negara barat.

Akibatnya pada 1971, United Kingdom telah memperkenalkan 'Misuse Of Drugs Act'bagi membendung penyalah gunannya. Begitu juga di Amerika Syarikat, pihak 'Drug Enforcement Administration' telah menguatkuasakan pengawalan terhadap 'MDMA' ini pada 1985.

Di Malaysia, penggunaan ekstasi mula dikesan pada pertengahan tahun 1990-an. Bagi mengawal mengawal penyalah gunaan ekstasi ini, kerajaan telah mewartakan kesalahan memiliki dan menggunakan ekstasi ini ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ekstasi berupaya memberi kesan awalan kepada sel saraf (neuron) di dalam otak dengan menggunakan serotonim (sebatian kimia di dalam sistem saraf pusat) untuk berhubungan dengan sel saraf yang lain.

Serotonim adalah sebatian kimia yang memainkan peranan penting dalam perubahan mood, keagresifan, aktiviti seksual, tidur dan sensitiviti kesakitan.

Ekstasi juga akan mengikat serotonim 'transporter' iaitu bahan yang bertanggungjawab mengeluarkan serotonim daripada sinap (ruang antara sel saraf) dan menghentikan signal antara sel saraf.

Oleh itu, lebihan serotonim boleh menyebabkan gejala-gejala negatif psikologikal dan fisiologikal.

Kesan psikologikal



  • Kekeliruan

  • Depresi

  • Gangguan tidur

  • Gian

  • Kebimbangan yang teruk

  • Paranoid

  • Kurang tumpuan

  • Mengurangkan daya memori

Kesan fisiologikal


  • Peningkatan kadar denyutan jantung

  • Tekanan darah tinggi

  • Ketegangan otot

  • Penglihatan kabur

  • Kesejukan

  • Pitam

  • Sakit kepala

  • Sembelit


Gejala-gejala di atas muncul apabila seseorang mengambil ekstasi ataupun beberapa hari selepas pengambilannya. Kajian oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan mendapati 43 peratus pengguna ekstasi di kalangan remaja dan dewasa menunjukkan kesan kebergantungan kepada ekstasi.

Bagi rawatan pemulihan terhadap penyalah gunaan dadah jenis ekstasi ini, AADK telah memperkenalkan model Matrix. Melalui pendekatan ini, klien dikehendaki mengikuti beberapa sesi kaunseling dan bimbingan secara insentif seperti sesi individu atau keluarga, sesi berkelompok kemahiran kepulihan awalan, sesi kelompok pencegahan relaps dan sesi kelompok pendidikan keluarga.